
KUALA LUMPUR – Panda Tata, jenama baharu dalam industri makanan segera di negara ini yang membawa konsep burger inovatif berasaskan roti buatan tangan yang dibakar segar, sos istimewa serta pilihan perisa yang diinspirasikan daripada cita rasa Asia, sedang membuat perancangan terperinci untuk meluaskan empayar perniagaannya dengan lebih agresif dalam tempoh tiga tahun ini.
Buat tahun pertama, syarikat yang berasal dari Guangzhou, China yang memiliki lebih 400 cawangan di negara itu, menyasarkan untuk membuka antara 20 hingga 30 outlet baharu yang dioperasikan melalui konsep francais.
Pengurus Operasinya, Daniel Leng berkata, buat masa ini, syarikat memberi tumpuan kepada usaha mengembangkan rangkaian restoran di dalam pusat beli-belah hanya dikendalikan oleh para pemegang taruhnya terlebih dahulu.
“Ini adalah cawangan pertama kali di Malaysia dan juga di luar Guangzhou, kami usahakannya dengan kerjasama antara rakan kongsi dari negara tersebut bagi menjadikan projek sulung ini sebagai projek contoh untuk pelan pengembangan masa depan.
“Kami juga dalam perancangan untuk mendapatkan sijil halal kerana antara garis panduan untuk mendapatkan sijil utama itu memerlukan kami beroperasi terlebih dahulu.
“Melalui pensijilan itu nanti, ia akan mengukuhkan lagi jenama Panda Tata.

“Bagaimanapun, semua vendor dan pembekal bahan mentah sedia ada beroperasi dengan memiliki sijil halal,” kataya ketika ditemui selepas majlis pelancaran outlet sulung Panda Tata di pusat beli-belah Nu Sentral baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai produk makanan, Leng menerangkan, syarikat mengetengahkan keunikan “Freshly Baked Chewy Bun”, iaitu roti burger yang dihasilkan secara manual dan dibakar terus di premis bagi memastikan kesegaran, tekstur serta kualiti setiap hidangan.
Tambah beliau, keistimewaan utama Panda Tata terletak pada proses penyediaan roti burgernya yang dihasilkan menggunakan doh yang diuli secara manual sebelum dibakar segar di premis.
Setiap roti burger mengambil masa kira-kira tiga minit untuk dibakar, sekali gus menghasilkan aroma yang menyelerakan serta tekstur yang lembut, kenyal dan mempunyai keunikan tersendiri.
Lebih menarik, Panda Tata turut menetapkan piawaian kesegaran yang ketat apabila roti burger yang telah melebihi 30 minit selepas dibakar tidak akan digunakan untuk hidangan pelanggan.
Pendekatan ini mencerminkan komitmen jenama tersebut dalam memastikan setiap pelanggan menikmati burger yang disediakan menggunakan roti segar dan berkualiti.
Bagi Panda Tata, roti bukan sekadar pelengkap kepada burger, sebaliknya merupakan elemen penting yang menentukan keseluruhan pengalaman menikmati hidangan tersebut.
Selain itu, Panda Tata turut memperkenalkan konsep dapur terbuka (Open Kitchen) yang membolehkan pelanggan melihat sendiri proses penyediaan roti burger secara langsung.
Menerusi konsep ini, pelanggan berpeluang menyaksikan proses penghasilan roti, bermula daripada penyediaan doh, pembakaran sehingga burger siap dihidangkan.
Konsep dapur terbuka ini bukan sahaja memberikan pengalaman menjamu selera yang lebih menarik, malah mencerminkan ketelusan jenama dalam memastikan kebersihan, kualiti serta kesegaran makanan.
Panda Tata percaya bahawa setiap burger yang berkualiti bermula daripada proses penyediaan yang teliti dan penggunaan bahan-bahan yang segar.
Gabungan Cita Rasa Asia dengan Sos Rahsia Istimewa Panda Tata turut membawa kelainan menerusi pembangunan menu burger yang menggabungkan inspirasi masakan Asia dengan konsep burger moden.
Antara variasi perisa yang diperkenalkan dalam konsep produk jenama ini termasuk Burger Keju Kari, Burger Daging Berperisa Satay serta Burger Ayam dengan Sos Kelapa, selain pelbagai pilihan inovatif yang lain.
Keunikan produk ini turut diperkukuh dengan penggunaan PT Handmade Sauce, iaitu sos istimewa yang dihasilkan berdasarkan resipi eksklusif jenama tersebut. -KOSMO! ONLINE
The post Panda Tata sasar buka 30 cawangan baharu appeared first on Kosmo Online.
