Honor MagicPad 2 merupakan salah satu produk yang akan diumumkan di acara IFA 2024. Ia juga dilihat menarik dengan peningkatan pada perkakasan dan perisian yang memungkinkan penggunaan lebih serius melebihi sekadar berhibur boleh dinikmati melaluinya. Sokongan aksesori tambahan seperti papan kekunci dan stylus pula menjadikannya mampu memenuhi pelbagai keperluan harian sama ada bekerja atau belajar. Bagi mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan penawaran tablet baharu MagicPad 2 ini, berikut dikongsikan artikel pandang pertama untuknya.

Spesifikasi Ringkas
Honor MagicPad 2 Skrin 12.3″ OLED 3K (1920 x 3000 piksel)
144Hz (~290 ppi density)Pemproses Snapdragon 8s Gen 3 (4 nm) Cip Grafik 1×3.0 GHz Cortex-X4
4×2.8 GHz Cortex-A720
3×2.0 GHz Cortex-A520Sistem Operasi MagicOS 8.0.1
Android 14RAM 12GB RAM
(+8GB RAM Maya)Storan Dalaman 256GB ROM Kamera Utama 13-Megapixel
LED FlashKamera Swafoto 9-Megapixel Bateri 10,050 mAh
Berwayar 66WSIM/Telefoni WiFi sahaja Pembesar Suara 8 + IMAX Enchanced Audio Bicu Audio Tiada Sistem Imbasan Imbasan Wajah
Kata laluan Harga Jualan Dikemaskini kemudian
Rekabentuk Dan Skrin
Perkara pertama yang boleh diberi perhatian tentang tablet baharu Honor ialah skrin yang besar dan terang. Besar yang dimaksudkan di sini ialah lebih daripada memadai dengan skrin bersaiz 12.3-inci. Ia juga menggunakan panel sejenis OLED 3K yang boleh menghasilkan paparan lebih terang dan jelas seterusnya menangani isu biasa kecerahan yang tidak mencukupi pada skrin LCD. Selain mempunyai kadar segar semula 144Hz yang tinggi bagi menawarkan tatalan cukup lancar yang boleh dinikmati. Bezel skrin yang nipis dan sama besar dikesemua sisi pula membolehkan tablet menawarkan ruang tontonan yang seimbang.

Terdapat juga kamera hadapan sebesar 9MP diletakkan di bahagian atas peranti. Apa yang penting ialah kewujudan bezel tersebut mampu menangani isu sentuhan yang tidak disengajakan di bahagian tepi skrin tablet. Sebagai tambahan lain paparan turut menyokong mod keselesaan mata melalui perisian terbina yang boleh ditemui di ruangan tetapan.

Honor MagicPad 2 juga tidak kurang hebatnya dari aspek rekabentuk yang nipis dengan ketebalan hanya 5.8mm. Pada masa yang sama tidak terlalu berat pada 555-gram yang sekurang-kurangnya dirasakan baik untuk saiznya. Kemudian tablet turut menggunakan bahan baharu sejenis gentian khas aeroangkasa untuk penutup belakang dan aluminium yang lebih kukuh untuk bingkai. Bahagian tepi yang sepenuhnya melengkung juga membantu bagi menjadikan tablet mudah dipegang dalam pelbagai keadaan sama ada melintang mahupun menegak. Ia sememangnya cukup mudah untuk dipegang dengan satu tangan tanpa rasa terbeban.

Kemudian kami mengalih perhatian ke bahagian belakang pula yang menempatkan bonggol kamera utama berbentuk bulat dengan konfigurasi 13MP bersama sebuah LED Flash terbina. Selain itu empat kekisi audio digunakan dengan susunan dua kekisi di bahagian sisi kanan yang mengapit port USB-C untuk tujuan pengecasan dan pemindahan data. Kemudian dua lagi kekisi ditempatkan pada sisi sebelah kiri bersama butang kuasa terbina.
Ciri-ciri lain yang ada pada tablet ini juga adalah butang laras audio di bahagian atas yang juga menjadi ruang untuk meletakkan Honor Magic-Pencil 3 bagi tujuan mengecas. Sambungan melalui bluetooth diperlukan terlebih dahulu di samping juga menyokong pengecasan secara nirwayar. Kalau diikutkan sebanyak lapan pembesar suara yang menyokong IMAX Enchanced Audio disediakan untuk pengalaman mendengar muzik yang imersif.

Tiada bicu audio sudah tentunya membuatkan pengguna bergantung sepenuhnya dengan fon telinga nirwayar. Tiada slot SIM pula menunjukkan bahawa tablet hanya menyokong wifi tanpa kemampuan rangkaian selular. Tiada kata putus boleh diberikan untuk prestasi dalam cubaan ringkas ini malahan kami masih perlu meluangkan lebih banyak masa untuk menguji tablet dengan lebih menyeluruh lagi.
Papan Kekunci Dan Magic-Pencil 3
Honor MagicPad 2 menyokong beberapa aksesori tambahan seperti papan kekunci magnetik dan Magic-Pencil 3. Kedua-dua aksesori perlu disambungkan ke tablet menggunakan bluetooth dan mempunyai bateri yang terbina. Papan kekunci juga bersaiz penuh lengkap dengan pad bernombor yang menjadikan pengalaman menaip lebih mudah.


Turut boleh diperhatikan juga bahawa aksesori ini boleh dijadikan sebagai kerangka pelidung yang akan menutup bahagian hadapan dan belakang tablet secara menyeluruh. Cuma ketiadaan pad sesentuh terbina pula menjadi kekurangan ketara di sini memandangakan terdapat pengeluar lain yang mampu menawarkannya pada aksesori keluaran mereka.

Sementara itu Honor Magic-Pencil 3 yang disokong pula mempunyai rekaan yang sama seperti generasi sebelumnya. Ia boleh melekat secara magnetik di bahagian sisi atas tablet, yang juga merupakan cara untuk proses pengecasan semula secara mudah alih. Cadangan penambahbaikan mungkin Honor boleh menambah ruangan khusu untuk stylus bagi menjadikan ia lebih kemas serta produktif untuk digunakan.
Perkakasan Dan Perisian
Honor MagicPad 2 dikuasai oleh pemproses Snapdragon 8s Gen 3 dengan gabungan memori 12GB RAM dan storan dalaman 256GB. Tiada slot kad microSD diberikan tetapi tablet mempunyai sokongan RAM maya 8GB RAM melalui fungsi Honor RAM Turbo. Seperti biasa masih tiada kebolehan diubah sendiri seperti yang ditawarkan pada peranti Honor yang lain. Kemudian perlu dinyatakan juga bahawa pilihan memori dan storan tadi dikhususkan untuk model yang diuji dalam artikel ini. Sementara itu penawaran penuh untuk unit komersial adalah bergantung pada pengumuman rasmi pada 5 September akan datang.


Seterusnya MagicPad 2 juga dilengkapi perisian MagicOS 8.0.1 berasaskan Android 14 dengan tetapan yang dioptimumkan bersama ciri pintar AI bertujuan untuk memberikan pengalaman lebih baik. Misalnya seperti AI Noise Cancelling yang memanfaatkan kuasa AI untuk menapis audio dan meningkatkan perbualan dengan keupayaan pembatalan hingar dua arah yang unik. Sesuai digunakan dalam sesi telesidang sama ada secara beseorangan mahupun berkumpulan.


Kemudian AI Voice To Text pula boleh menghasilkan transkripsi audio secara automatik. Ia boleh merekod dan menterjemahkan sesuatu perbualan secara masa nyata dengan sambungan internet. Di samping mampu melabel setiap satu individu terlibat menjadikan proses mendengar semula rakaman audio menjadi lebih mudah.
Dengan AI Handwriting Beautification pula tulisan tangan boleh menjadi lebih kemas dengan bantuan AI . Kemudian lebih baiknya lagi apabila tulisan yang sukar difahami dan dibaca khususnya yang melibatkan istilah atau terma yang digunakan dalam subjek kimia, fizik atau sains boleh dikesan dengan mudah melalui ciri AI Formulation Recognition.

Ciri-ciri lain yang ada pada tablet ini juga adalah AI Magic Portal dan Magic Ring dengan kebolehan seumpama yang ditawarkan pada telefon boleh lipat Magic V3. Paling penting sekali tablet ini dilengkapi sokongan Google Mobile Services terbina yang sudah tentunya memudahkan penggunaan sebahagian besar pengguna.
Bateri Dan Pengecasan

Honor MagicPad 2 menggunakan bateri sebesar 10,050mAh iaitu lebih besar berbanding sebuah Huawei MatePad Pro baharu sebelum ini. Ia kemudiannya boleh dicas semula menggunakan port USB-C terbina yang juga menyokong sistem pengecasan pantas 66W. Honor mendakwa tablet boleh berfungsi sehingga 13 jam untuk main baik video dengan resolusi FHD. Namun kami tidak pula mengujinya untuk pandang pertama ini dan akan terus meluangkan masa dengannya untuk berkongsi jumlah ketahanan sebenar melalui artikel ulasan yang akan datang.
Kesimpulan
Honor MagicPad 2 akan dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi dengan harga jualan yang hanya diketahui pada 5 September 2024. Pengumuman akan dibuat seiring dengan pengenalan untuk telefon boleh lipat Magic V3 dan komputer riba MagicBook Art 14. Daripada apa yang dilihat setakat ini Honor MagicPad 2 kelihatan baik dalam kelasnya namun ujian selanjutnya masih perlu dijalankan untuk prestasi yang lebih menyeluruh. Ulasan penuh akan menyusul dalam artikel yang akan datang.
Pro atau Kelebihan
- Binaan ringan dan nipis.
- Pemproses baik dalam kelasnya.
- Skrin OLED 3K dengan kadar segar semula 144Hz.
- Bateri besar dan sistem pengecasan pantas.
- Aksesori tambahah disokong bersama.
Kontra atau Kelemahan
- Papan kekunci tiada pad sesentuh terbina.
- Tiada penarafan kalis air.
- Tiada bicu audio.
- Tiada sokongan rangkaian selular.
