Pandikar Amin sahkan USNO tinggalkan GRS

LocalPolitics
22 Apr 2026 • 11:04 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pandikar Amin sahkan USNO tinggalkan GRS
Pandikar Amin bersalaman dengan Hajiji.

KOTA KINABALU - Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Tan Sri Pandikar Amin Mulia memberitahu partinya itu telah meninggalkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Perkara itu disahkan sendiri oleh dirinya selepas tular kenyataan menerusi satu hantaran di Facebook Warta USNO berhubung parti itu mengucapkan selamat tinggal kepada GRS.

"Benar. Boleh (guna kenyataan dalam hantaran di Facebook). Itu saya sudah sahkan sebelum viral," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Dalam hantaran tersebut, bekas Speaker Dewan Rakyat itu dikatakan secara rasminya meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi GRS dan semua jawatan berkaitan kerajaan. 

Peletakan jawatan itu dinyatakan secara rasmi semasa pertemuan bersama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor merangkap Pengerusi GRS pada Selasa.

Keputusan Presiden USNO itu juga disahut secara sebulat suara pada Rabu dalam Mesyuarat Ahli Majlis Eksekutif Tertinggi (AMET) USNO untuk keluar daripada gabungan GRS. 

Antara justifikasi awal tentang keputusan USNO adalah disebabkan sudah tidak wujudnya keserasian dalam aspek pentadbiran dan dasar kerajaan khususnya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ke-17.

USNO juga mengambil pendirian untuk kekal sebagai parti politik yang berteraskan perjuangan peribumi lokal Sabah dan akan komited dalam proses semak serta imbang. 

Parti itu mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi dan semua rakan komponen GRS atas kebersamaan sebelum ini. 

Dalam pada itu, USNO juga berjanji akan terus memperjuangkan aspirasi rakyat yang termarginalisasi.

Dalam hantaran tersebut, turut disertakan gambar Pandikar Amin bersalaman dengan Hajiji.