.jpg)
TAWAU: Seorang wanita warga asing yang memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian sahabat baiknya dalam satu kemalangan dijatuhi hukuman penjara 30 bulan dan denda RM5,000, atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda.
Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Risna (gambar), 26, yang mengaku bersalah atas pertuduhan terhadapnya pada Selasa.
Risna didapati memandu sebuah kereta Proton Saga yang dipinjamnya dengan cara berbahaya sehingga mengakibatkan kemalangan dan menyebabkan kematian sahabat baiknya di Batu 16, Jalan Apas, di sini, pada jam 3 petang, 26 Ogos tahun ini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 jika sabit kesalahan.
Menurut fakta kes, Risna memandu kereta berkenaan dari Semporna menuju ke Tawau pada hari kejadian dengan mangsa Nur Diana Watih, 24, duduk di tempat duduk penumpang hadapan.
Sebaik tiba di jalan lurus di Batu 16, Jalan Apas, Risna dipercayai memandu pada kelajuan tinggi sebelum hilang kawalan terhadap kenderaan itu.
Kereta berkenaan terbabas dari jalan raya sebelum melanggar sebatang pokok dan tembok tanah menyebabkan kenderaan itu terbalik.
Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Tawau pada jam 9.30 malam hari yang sama.
Risna dibenarkan keluar dari wad pada 28 Ogos 2026 selepas mengalami kecederaan tidak serius.
Pegawai pendakwa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau ASP Joan Lee memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat demi keadilan dan kepentingan awam.
Beliau berkata hukuman itu bukan semata-mata bertujuan menghukum tertuduh tetapi juga untuk menyampaikan mesej jelas bahawa perbuatan memandu secara berbahaya dan melulu sehingga mengakibatkan kemalangan tragis serta kehilangan nyawa tidak akan ditoleransi.
“Si mati berusia 24 tahun dan meninggalkan seorang anak yang berusia dua tahun lima bulan ketika kejadian,” katanya.
Joan turut memaklumkan bahawa Risna pernah didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 pada 9 September lalu dan didenda RM4,000, atau penjara empat bulan jika gagal membayar denda kerana tidak memiliki dokumen yang sah.
Tertuduh kemudian dirujuk kepada Jabatan Imigresen dan ditahan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) selepas membayar denda berkenaan.
Peguam Jhassary P. Kang yang mewakili Risna memohon hukuman lebih ringan dengan menyatakan anak guamnya merupakan seorang suri rumah yang tidak bekerja sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu.
Beliau turut berhujah bahawa kes berkenaan merupakan kesalahan pertama tertuduh.






