Pandu lawan arus kecuaian membunuh pengguna lain

LocalOpinion
7 Apr 2026 • 7:50 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Video tular menunjukkan sebuah kereta dipandu melawan arus sejauh kira-kira 500m di sekitar Jalan Klang Lama kelmarin.

KES pengguna jalan raya membawa kenderaan melawan arus bukan lagi isu terpencil sebaliknya semakin kerap dilaporkan dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai.

Tindakan seperti ini sering mengundang tragedi termasuk kemalangan maut yang melibatkan pengguna lain yang tidak bersalah.

Lebih membimbangkan terdapat kes melibatkan lebuh raya utama, sekali gus meningkatkan risiko perlanggaran berkelajuan tinggi.

Tinjauan terhadap kes-kes lalu mendapati beberapa faktor dikenal pasti sebagai punca antaranya kecuaian, pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah, masalah kesihatan mental dan kekeliruan arah terutama dalam kalangan warga emas.

Tidak kurang juga kes melibatkan pemandu terlepas simpang atau cuba memendekkan perjalanan tanpa memikirkan risiko besar bakal berlaku.

Walaupun pihak berkuasa seperti polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengambil tindakan tegas termasuk pendakwaan dan penggantungan lesen, kejadian seumpama ini masih berulang.

Ini menunjukkan bahawa pendekatan sedia ada mungkin belum cukup menyeluruh untuk menangani isu berkenaan.

Selain penguatkuasaan, aspek kesedaran awam perlu diperkasakan.

Kempen keselamatan jalan raya perlu lebih agresif dengan menekankan risiko sebenar pemanduan lawan arus termasuk kesan terhadap mangsa dan keluarga.

Selain itu, penambahbaikan infrastruktur juga wajar dipertimbangkan. Antaranya pemasangan papan tanda lebih jelas, lampu amaran di laluan berisiko serta penggunaan teknologi seperti sistem pengesanan kenderaan melawan arus di lebuh raya.

Di beberapa negara maju teknologi ini terbukti membantu memberi amaran awal kepada pengguna jalan raya lain.

Dalam masa sama, saringan kesihatan berkala khususnya bagi pemandu warga emas juga boleh dipertimbangkan bagi memastikan mereka masih layak memandu dengan selamat.

Tanpa usaha berterusan, tidak mustahil lebih banyak nyawa akan terkorban akibat kecuaian yang sepatutnya boleh dielakkan.