Pandu Uji GAC Emkoo CKD: Bakal Dilancar, Harga Sekitar RM120K! Ada Power, Luar, Dalam Puas Hati!

LocalCars
22 Aug 2025 • 12:15 AM MYT
Carz Automedia
Carz Automedia

Latest automotive news & review in one place.

image is not available

image is not available

Nampaknya, GAC Malaysia (WTC Automotif) bakal melancarkan SUV segmen-C pertamanya di Malaysia, GAC Emkoo tidak lama lagi memandangkan pihak media diberi peluang memandu uji model terbaharu itu di sekitar Putrajaya International Convention Centre, Putrajaya semalam.

Walaupun kami cuma diberi satu jam hanya untuk merasai pemanduan GAC Emkoo versi pemasangan tempatan (CKD) namun model ini sudah membuktikan keupayaannya yang sebenar.

Kami diberikan varian asas Premium untuk dipandu uji, namun apa yang mengejutkan varian biasa ini agak setanding dengan beberapa SUV “flagship” yang lain di pasaran.

Selepas pandu uji GAC Emkoo, ini 5 perkara tentang model ini:

image is not available

1. SAIZ BESAR!

Seperti mana model GAC GS3 Emzoom, Emkoo berjaya menyembunyikan rupa gedabaknya dengan rekaan mecha design yang agak menonjol. Ini kerana reka lampu depannya jenis Matrix-style dan seolah-olah berbentuk L serta diapit dengan gril hadapan yang agak unik kerana berbentuk V.

image is not available

Sementara itu, pemegang pintunya pula jenis rata, garis bumbung berbentuk SUV coupe, lampu belakang LED berbentuk-L, spoiler bumbung belakang dengan lampu brek tengah ala F1, bampar belakang pun agak bergaya dan banyak lagi.

image is not availableimage is not available

Selain itu, varian asas Emkoo dipadankan dengan rim aloi 19 inci multi-spoke dwitona bersama tayar Continental EcoContact 6 bersaiz 235/55/R19.

image is not available

Dari segi dimensi, Emkoo berukuran 4,680 mm panjang, 1,901 mm lebar, 1,670 mm tinggi, dengan jarak roda 2,750 mm – sebaris dengan SUV segmen-C lain seperti Kia Sportage, Hyundai Tucson, GWM Haval H6 HEV, dan Honda CR-V.

Ia ditawarkan dalam lima pilihan warna iaitu Star Lake Green, Frost White, Super Star Silver, Graphite Grey, dan Asphalt Black.

2. KABIN BESAR, LUAS!

image is not availableimage is not available

Hasil daripada saiznya yang besar, Emkoo menawarkan kabin yang agak luas untuk standard SUV segmen-C. Apa yang benar-benar mengejutkan ialah betapa lengkapnya varian ‘entry-level’ ini.

image is not availableimage is not available

Bahagian hadapan dilengkapi papan pemuka moden, dengan tumpuan utama pada skrin infotainmen 10.1 inci yang menyokong Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar. Ia ditemani paparan meter digital 7 inci.

image is not available

Stereng balutan kulit tiruan dengan butang kawalan media dan hadir dengan bantuan ADAS selain konsol tengah jenis terapung yang menempatkan pengecas tanpa wayar berkuasa 50W serta tombol gear. Kedua-dua kerusi depan dikuasakan elektrik, namun hanya kerusi pemandu mempunyai fungsi ventilasi.

image is not availableimage is not available

Ketika duduk di belakang, saya mendapati ruang kaki dan kepalanya agak luas dan bahagian penumpang belakang menerima dua corong pendingin hawa serta serta satu port pengecasan USB-A.

image is not available

Jika dewasa, saya berpendapat tiga orang sudah memadai.

Sebelum terlupa, ruang butnya yang sebesar 638 liter boleh dibesarkan sehingga 1,586 liter dengan kerusi belakang direbahkan. Terdapat juga tayar ganti jenis space-saver.

image is not availableimage is not available

3. ENJIN ADA POWER

GAC Emkoo ini disumbat dengan enjin petrol turbo 1.5 liter 4-silinder dimana ia mampu menghasilkan kuasa setakat 177 PS dan 270 Nm, kesemua kuasanya dihantar ke roda hadapan (FWD) menerusi kotak gear DCT basah 7-kelajuan. GAC mendakwa ia mampu memecut dari 0-100 km/j hanya dalam 8.8 saat, manakala kadar penggunaan bahan api hanya 6.6 liter/100 km.

image is not available

Sepanjang sesi pandu uji singkat, enjin 1.5 TGDi ini agak bertenaga dan mampu menggerakkan SUV ini dengan cukup lancar. Respons pedal minyak juga pantas, walaupun berada dalam mod Eco dan Comfort.

Dari segi kawalan, stereng terasa ringan dan agak lembab Ketika berada pada mod Eco/Comfort, namun ia cukup responsif ketika berada dalam mod Sport.

image is not availableimage is not available

Satu kelemahan ketara ialah tahap penebat bunyi, getaran, dan gegaran (NVH) yang agak sederhana. Pada kelajuan lebuh raya, bunyi angin dan tayar lebih jelas kedengaran walaupun menggunakan tayar Continental premium.

Namun begitu, tahap keselesaan keseluruhan masih baik dan lebih stabil berbanding dengan GAC GS3.

4. ADA ADAS WALAUPUN SETAKAT VARIAN BIASA

image is not available

Apa yang mengejutkan walaupun cuma varian biasa, Emkoo Premium hadir dengan semua ciri keselamatan pasif dan aktif.

Varian biasa ini tidak didatangkan dengan Fusion Automatic Parking Assist (FAPA), namun mendapat semua fungsi ADAS yang ditawarkan pada model tertinggi Premium Pro. Ini termasuk: Brek Kecemasan Automatik, Kawalan Jelajah Adaptif, Pengesan Titik Buta, Bantuan Kekal Lorong, Amaran Keluar Lorong, Amaran Buka Pintu, Amaran Perlanggaran Hadapan, Amaran Lintasan Belakang dan banyak lagi.

Walaupun kami tidak sempat menguji semua fungsi tersebut, langkah GAC menawarkan ciri keselamatan penuh pada varian asas adalah sesuatu wajar dipuji kerana menitikberatkan soal keselamatan para pembelinya.

5. MAMPU JADI SUV Segmen-C PALING MAMPU MILIK

Dengan harga anggaran sekitar RM120,000, GAC Emkoo Premium mampu menjadi salah satu SUV segmen-C paling mampu milik di pasaran Malaysia sebaik sahaja dilancarkan.

image is not available

Harga ini agak mampu milik kerana ia adalah versi CKD. Unit pandu uji kami ini menunjukkan proses pemasangan tempatan berjalan dengan baik dengan penawaran prestasinya

Walaupun harga akhir mungkin berubah sedikit, kehadiran Emkoo sebenarnya menawarkan banyak pilihan kepada pembeli SUV segmen-C di Malaysia nanti.