[Pandu Uji Ringkas] Zeekr 009: MPV Elektrik Mewah Yang Lincah & Selesa

Cars
15 Apr 2025 • 12:30 AM MYT
Carz Automedia
Carz Automedia

Latest automotive news & review in one place.

image is not available

image is not available

CariCarz berpeluang untuk memandu uji MPV elektrik mewah, Zeekr 009, dalam acara eksklusif bersama media anjuran Zeekr Malaysia. Perjalanan kami bermula dari bilik pameran Zeekr di IOI Puchong, Selangor menuju ke Batu Ferringhi, Pulau Pinang, jarak perjalanan hampir mencecah 400 km dengan tempoh kira-kira 5-6 jam.

Untuk makluman pembaca, Zeekr 009 ditawarkan dalam dua versi iaitu versi Luxury, 7 tempat duduk dengan konfigurasi 2-2-3 yang praktikal untuk keluarga dan versi Ultra Luxury, 6 tempat duduk dengan konfigurasi 2-2-2 yang lebih mewah dan eksklusif.

Reka Bentuk Ikonik Tarik Perhatian Ramai

image is not available

image is not availableimage is not available

Sepanjang perjalanan, jentera ini menyerlah dengan reka bentuk ‘berani’ dari segenap sudut. Walaupun kini semakin banyak model kereta dengan rekaan futuristik di jalan raya, tiada yang mempu menandingi aura futuristik rekaan Zeekr 009, lebih-lebih lagi dengan ukuran badan gergasinya yang memanggil-manggil untuk dipandang.

Gergasi ‘Lincah’

image is not availableimage is not available

Penulis berpeluang untuk menjadi pemandu pertama dalam sesi pandu uji ini, yang mana perjalanan bermula di dalam trafik yang agak sesak di sekitar Puchong menuju ke Lebuhraya KESAS dan ELITE. Sesekali ketika trafik lancar, sempat menguji kemampuan model ini untuk meluncur.

image is not available

Untuk sebuah jentera yang besar (lebih besar daripada pesaingnya, Alphard dan Vellfire), EV ini dapat meluncur laju dengan lancar, dan mudah untuk dikawal. Terasa ringan untuk sebuah jentera gergasi.

Berdasarkan angka yang dikongsikan di atas kertas, model ini dikuasakan dua motor elektrik (depan dan belakang), Zeekr 009 menghasilkan kuasa 603 hp (450 kW) dan tork 693 Nm, membolehkannya memecut dari 0-100 km/j dalam hanya 4.5 saat, luar biasa untuk sebuah MPV 3 tan!

Suspensi Udara Pintar Jamin Keselesaan

image is not available

Sistem suspensi dual-chamber air suspension dengan Continuous Damping Control (CDC) memberikan pengguna pilihan mod ‘Comfort’ atau ‘Sport’. Penulis mendapati mod ‘Sport’ lebih sesuai untuk lebuh raya Malaysia.

Dalam mod ‘Comfort’ jentera dirasakan terlalu ‘berayun’ atau floaty seperti memandu di atas air, sehingga membuatkan penumpang di barisan depan termasuk pemandu terasa sedikit pening. Namun, sebaik suspensi ‘Sport’ diaktifkan, pemanduan terasa lebih selesa dan meyakinkan.

Kabin Lebih Senyap dari Bilik Hotel

Walaupun dipandu laju sehingga pedal ditekan ke lantai sekalipun, dan berdasarkan ujian cecah 180 km/j yang kami lakukan, kabin kekal senyap!

EV Jarak Jauh Sebenar

image is not available

Jika difikirkan, lebih besar jentera, lebih mudah tenaga bateri untuk ‘hilang’, namun tidak bagi Zeekr 009. Walaupun pendingin hawa dihidupkan hampir sepenuh masa pada suhu paling rendah ‘Low’ atau 16 darjah Celsius memandangkan cuaca agak panas, dengan sesekali pedal ditekan untuk menguji kemampuan, serta menempuhi kesesakan trafik di awal perjalanan dan juga semasa tiba di Pulau Pinang, kami berjaya tiba ke Batu Ferringhi, Pulau Pinang tanpa berhenti walau sekali untuk mengecas bateri, dengan baki perjalanan dalam 61 km.

image is not available

Jangkaan jarak EV yang dinyatakan di awal perjalanan ialah 565 km (kiri) dan baki jarak EV sebaik tiba di Batu Ferringhi ialah 61 km (kanan)

Bagaimanapun, sekiranya bateri perlu dicas, masa yang diambil tidak terlalu lama. Dengan pengecas pantas, jentera ini boleh dicas dari 10-80% dalam masa sepantas 30 minit.

image is not available

Zeekr 009 menggunakan teknologi bateri berkapasiti tinggi, 116 kWj dan memiliki sistem AWD pintar "Lightning Switch Intelligent AWD" yang membantu jentera menggunakan tenaga dengan efisien

Dengan cas penuh, Zeekr 009 dikatakan boleh mencapai jarak perjalanan maksimum sehingga 582 km, berdasarkan standard WLTP, yang dibekalkan oleh pek bateri berkapasiti tinggi, 116 kWj.

Selain bateri yang besar, faktor lain yang membantu Zeekr 009 menggunakan tenaga dengan efisien ialah kehadiran sistem pintar "Lightning Switch Intelligent AWD" yang mana sistem trenkuasanya boleh bertukar daripada pacuan semua roda (AWD) kepada pacuan roda belakang (RWD) secara automatik bergantung kepada gaya pemanduan.

AWD hanya diaktifkan apabila kuasa diperlukan iaitu semasa pemanduan agresif, manakala RWD digunakan untuk menjimatkan tenaga ketika pemanduan santai.

Selain itu, sepertimana kebanyakan EV lain, model ini hadir dengan sistem regenerative braking termasuk pemanduan one-pedal yang membantu penjanaan tenaga bateri sambil memandu.

Teknologi Pemanduan Pintar

Di sepanjang perjalanan, kami dapat menguji kemampuan beberapa ciri yang ditawarkan seperti kawalan jelajah adaptif yang dapat diaktifkan dengan mudah melalui butang kawalan pada stereng. Sebaik diaktifkan, kenderaan boleh meluncur dengan sendiri pada kelajuan sama seperti yang ditetapkan di awal pengaktifan, dalam masa yang sama, mengekalkan jarak selamat.

Ciri ini masih boleh berfungsi dalam keadaan trafik perlahan dan boleh berhenti secara automatik sekiranya kenderaan di hadapan berhenti, sebelum bergerak semula apabila trafik mula bergerak.

Ciri yang dipanggil “ACC with Low-Speed Follow” ini berfungsi hasil gabungan kamera dan radar di sekeliling kenderaan, sangat menarik untuk pemanduan yang relaks terutama dalam keadaan trafik yang tidak menentu di bandar.

Keselesaan Perjalanan Jarak Jauh

image is not available

Kecanggihannya tidak terhenti pada aspek pemanduan sahaja, model ini turut disematkan dengan pelbagai ciri menarik yang menjadikan kabin selesa tak ubah “seperti di rumah.”

Perkara pertama yang mencuri jiwa penulis ialah tempat duduknya dalam balutan kulit Nappa yang sangat lembut dan empuk.

Selain itu, tempat duduk barisan kedua terutamanya, hadir dengan ciri Eames Lounge Chair Mode atau mod kerusi santai yang mana tempat duduk boleh ditumbangkan ke belakang, dengan sistem perehat kaki yang boleh dilaraskan. Ciri-ciri ini boleh dikawal melalui butang kawalan pada sisi kerusi.

Cara paling mudah untuk berada dalam mod santai ini adalah dengan membuka ciri scene audio melalui skrin besar khas untuk penumpang belakang. Di sini, beberapa ‘suasana relaks’ ditawarkan seperti Night Camping, Mysterious Universe, Rain Indoors dan sebagainya yang sebaik diaktifkan, akan meletakkan tempat duduk dalam mod santai secara automatik dengan audio menenangkan akan bermain di speaker.

Zeekr Janji Sentiasa Kemas Kini Sistem

image is not available

Dalam sesi soal jawab bersama media yang diadakan, Zeekr Malaysia memaklumkan bahawa ciri-ciri MPV mewah ini akan sentiasa ditambahbaik dari masa ke masa dengan mudah secara over-the-air (OTA). Ini bermakna, lebih banyak lagi ciri menarik dan peningkatan sistem bakal ditawarkan pada masa akan datang.

Berbaloi Atau Tidak?

image is not available

Untuk sebuah EV futuristik yang mewah dan sarat dengan teknologi canggih, Zeekr 009 membuktikannya sebagai jentera yang berbaloi untuk dimiliki, lebih-lebih lagi dengan harga yang jauh lebih rendah, iaitu bermula dari hanya RM349,800, atas jalan tidak termasuk insurans. Harga jualannya ini hampir RM200,000 lebih murah berbanding Vellfire dan hampir RM100,000 lebih rendah berbanding Alphard. Apa pendapat anda? Adakah ciri-ciri yang ditawarkan Zeekr 009 cukup menarik?