![Image from: Panel Kaca Pecah Lepas Tren Berhenti Mengejut, 5 Penumpang LRT Laluan Kelana Jaya Cedera [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/06/penumpang-lrt-laluan-kelana-jaya-cedera-akibat-panel-kaca-pecah-800x467.jpg)
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Seramai lima orang penumpang dilaporkan cedera selepas panel kaca sebuah tren LRT (Transit Aliran Ringan) Laluan Kelana Jaya pecah.
Menurut kenyataan dikeluarkan Rapid KL di laman Facebook, kejadian itu berlaku berhampiran Stesen Dang Wangi jam 6.07 petang semalam (4 Jun).
Tren LRT Berhenti Serta-merta Selepas Sistem Keselamatan Automatik Diaktifkan
Insiden tersebut berlaku apabila sistem keselamatan automatik tren diaktifkan ketika ia sedang bergerak, menyebabkan kenderaan berkenaan berhenti serta-merta sebagai langkah kawalan operasi.
“Pengaktifan sistem tersebut merupakan sebahagian daripada ciri keselamatan tren sedia ada yang direka untuk memastikan sebarang situasi luar jangka dapat ditangani dengan segera,” katanya.
Botol Air Penumpang Terhentak Pada Panel Kaca Ketika Hilang Imbangan
Susulan pemberhentian tren secara serta-merta, seorang penumpang yang sedang berdiri dipercayai hilang imbangan sebelum botol air yang dipegangnya terhentak pada panel kaca di bahagian sisi tempat duduk.
Impak terbabit kemudiannya menyebabkan panel kaca berkenaan pecah dan serpihannya terkena pada beberapa penumpang berhampiran.
Menerusi laman Threads, beberapa penumpang tren tersebut turut berkongsi video dan foto di lokasi kejadian.
Malah ada juga yang berkata insiden ini kelihatan seperti ‘Final Destination’.
View on Threads
View on Threads
2 Penumpang Dibawa Ke Hospital Untuk Dapatkan Rawatan Lanjut
Sementara itu, dua daripada penumpang tercedera dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala tiga penumpang lain menerima rawatan di lokasi kejadian sebelum meneruskan perjalanan.
Jelas Rapid KL, penumpang lain berada dalam keadaan selamat dan telah diturunkan di Stesen Damai untuk meneruskan perjalanan mereka dengan menaiki tren seterusnya.
Tren Terlibat Tak Beroperasi Buat Sementara Waktu Untuk Tujuan Pemeriksaan
Sebagai langkah keselamatan, dan selaras dengan prosedur operasi standard, tren terbabit telah dikeluarkan daripada perkhidmatan bagi membolehkan pemeriksaan teknikal menyeluruh dilaksanakan.
Rapid KL Nasihat Penumpang Sentiasa Berpaut Pada Pemegang Tangan
Dalam pada itu, penumpang dinasihatkan untuk sentiasa berpegang pada pemegang tangan disediakan dan berada dalam kedudukan stabil sepanjang perjalanan, terutamanya ketika tren sedang bergerak atau menghampiri stesen.
Kenapa LRT Laluan Kelana Jaya Berdepan Gangguan? Ini Penjelasan CEO Rapid Rail
Baca Artikel Berkaitan: LRT Laluan Kelana Jaya Sekali Lagi Alami Gangguan, Ramai Tersangkut Nak Ke Tempat Kerja [Video]
