Panggilan tak berjawab rupanya mati dalam bilik sewa

29 Jun 2023 • 3:11 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Gambar hiasan

AMPANG JAYA - Misteri panggilan tidak berjawab seorang lelaki ketika dihubungi rakannya terungkai apabila mangsa ditemui meninggal dunia dalam bilik sewa di Taman Muda di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, rakan mangsa kemudiannya pergi ke bilik sewa mangsa.

"Rakan mangsa kemudian mendapati bilik tersebut berkunci sebelum menghubungi pihak bomba untuk memecah pintu yang berkunci.

"Mangsa kemudiannya ditemui dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Ampang untuk dibedah siasat.

"Pemeriksaan awal terhadap tubuh badan mangsa bagaimanapun mendapati tiada sebarang unsur jenayah.

"Siasatan lanjut berkaitan kejadian masih dijalankan," katanya.

Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).