Panggilan Telefon Bocor: Mahkamah Thailand Pecat PM

WorldPolitics
29 Aug 2025 • 6:06 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Paetongtarn Shinawatra - Gambar SCMP

KUALA LUMPUR - Mahkamah Perlembagaan Thailand hari ini memecat Perdana Menteri  Paetongtarn Shinawatra daripada jawatan kerana pelanggaran etika, hanya selepas setahun memegang tampuk kuasa.

Paetongtarn yang telah digantung tugas sejak 1 Julai, didapati bersalah selepas panggilan telefonnya bersama mantan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen bocor dan diketahui ramai Jun lalu.

Panggilan telefon berkenaan dibuat ketika sempadan kedua-dua negara dilanda konflik bersenjata.

Pertempuran antara pasukan keselamatan Thailand dan Kemboja meletus beberapa minggu selepas panggilan telefon tersebut dan berlarutan selama lima hari.

Susulan pemecatan Paetongtarn, Parlimen negara Gajah Putih itu perlu memilih perdana menteri baharu dan ia dijangka mengambil masa kerana Parti Pheu Thai pimpinan beliau kehilangan kuasa tawar-menawar, sekali gus berdepan cabaran mempertahankan pakatan rapuh dengan majoriti tipis.

Paetongtarn, perdana menteri termuda dalam sejarah Thailand, ialah pemimpin keenam daripada keluarga jutawan Shinawatra yang digulingkan tentera atau badan kehakiman sejak dua dekad lalu. 

Beliau sudah memohon maaf berhubung isu panggilan bocor itu dan menegaskan tindakannya hanya bertujuan mengelak peperangan.

Dengan penyingkiran Paetongtarn, perhatian kini tertumpu kepada calon pengganti beliau. 

Perdana Menteri sementara, Phumtham Wechayachai, tidak layak dilantik secara tetap kerana tidak didaftarkan sebagai calon perdana menteri pada pilihan raya 2023.

Satu-satunya calon lain yang tinggal daripada Parti Pheu Thai ialah bekas Menteri Kehakiman berusia 77 tahun, Chaikasem Nitisiri, yang sebelum ini menafikan laporan kononnya beliau berdepan masalah kesihatan.

Thaksin Shinawatra pula dijangka menjadi watak penting dalam rundingan politik melibatkan pelbagai parti bagi memastikan Pheu Thai terus mengetuai kerajaan campuran. - Agensi, 29 Ogos 2025