Pantai cantik, nampak tenang tetap berbahaya

EnvironmentTravel
13 Sep 2026 • 8:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pantai cantik, nampak tenang tetap berbahaya

JOHOR BAHRU – Keadaan geografi pesisir pantai timur Johor yang mempunyai pelbagai bentuk muka bumi menyebabkan pergerakan air laut tidak sera­gam dan boleh mewujudkan keadaan hidrodinamik berbeza, sekali gus menjadikan sesetengah kawasan berisiko kepada pengunjung.

Pakar Kejuruteraan Hidraulik, Hidrologi dan Pesisir Pantai, Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mohamad Hidayat Jamal berkata, keadaan itu perlu diberi perhatian, khususnya di sepanjang pesisir Kota Tinggi dan Mersing yang mempunyai kombinasi pantai berpasir, tanjung, berbatu, teluk, muara serta perairan berhampiran ­pulau.

Menurutnya, perbezaan bentuk pantai dan dasar laut boleh mempengaruhi arah serta kelajuan arus, corak pecahan ombak, perubahan kedalaman dan pergerakan sedimen.

“Jadi, kita tidak boleh me­nganggap semua pantai mempunyai tahap risiko yang sama. Walaupun dua pantai kelihatan hampir serupa dari daratan, keadaan di bawah permukaan air boleh sangat berbeza.

“Bentuk pantai, kecerunan dasar, kewujudan beting pasir, tanjung atau saluran air boleh menyebabkan arus tertumpu di lokasi tertentu dan menjadi lebih kuat,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.

Jelasnya, kajian hidrodinamik di Tanjung Sedili, Kota Tinggi sendiri menunjukkan kawasan pesisir berkenaan terdedah kepada perubahan pantai akibat proses semula jadi dan kajian berkaitan hidrodinamik masih diperlukan bagi memahami pergerakan air di kawasan tersebut.

Image from: Pantai cantik, nampak tenang tetap berbahaya
Dr. Mohamad Hidayat

Beliau berkata, keadaan sama turut perlu diberi perhatian di kawasan perairan berhampiran pulau di Mersing kerana bentuk muka bumi pulau boleh mempengaruhi corak pergerakan arus.

“Apabila air melalui kawasan yang lebih sempit atau cetek, kelajuan arus boleh meningkat. Sebab itu kawasan berhampiran pulau, tanjung dan laluan sempit perlu diberi perhatian kerana keadaan arus tidak semestinya sama dengan kawasan pantai terbuka.

“Bagi pengunjung, perubahan ini sukar dilihat hanya dengan mata kasar dan mereka mungkin menyangka air kelihatan tenang bermakna selamat,”katanya.

Tambahnya, keadaan hidrodinamik turut berubah mengikut pasang surut, arah angin dan keadaan ombak, manakala pe­ngaruh monsun boleh menjadikan keadaan laut lebih bergelora di pesisir timur Johor.

Menurutnya, risiko menjadi lebih tinggi apabila berlaku perubahan cuaca kerana tenaga ombak dan arus boleh berubah dalam tempoh singkat.

“Pengunjung perlu faham bahawa pantai ini adalah dinamik. Dasar pasir boleh berubah, saluran air boleh terbentuk dan arus boleh berubah mengikut kea­daan pasang surut serta ombak.

“Justeru, kawasan yang pernah dianggap selamat sebelum ini tidak semestinya mempunyai keadaan sama pada setiap masa,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengunjung supaya tidak hanya bergantung kepada keadaan permukaan air ketika tiba di pantai, sebaliknya mematuhi papan tanda keselamatan, arahan pihak berkuasa dan mengelakkan aktiviti air ketika keadaan laut tidak mengizinkan.

“Pantai yang cantik dan kelihatan tenang tidak bermakna bebas daripada risiko. Pengunjung perlu memahami bahawa faktor geografi dan pergerakan air di bawah permukaan boleh menjadi bahaya yang tidak kelihatan,” katanya.

The post Pantai cantik, nampak tenang tetap berbahaya appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved