Pantai Hospital Melaka anjur Simposium Trauma, himpun pakar dan petugas kecemasan

LocalHealth & Fitness
16 Apr 2026 • 3:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pantai Hospital Melaka anjur Simposium Trauma, himpun pakar dan petugas kecemasan
Dr Kevin (kiri) meninjau reruai mempamerkan teknologi perubatan penjagaan trauma digunakan dalam sektor kesihatan negara.
Image from: Pantai Hospital Melaka anjur Simposium Trauma, himpun pakar dan petugas kecemasan
Dr Kevin (tiga dari kanan,duduk) bersama pakar dan petugas unit kecemasan yang hadir pada Simposium Trauma berlangsung pada Sabtu.

MELAKA - Pantai Hospital Melaka memperkukuh peranan perkhidmatan kesihatan menerusi penganjuran Simposium Trauma yang menghimpunkan pakar perubatan, petugas unit kecemasan serta rakan kerjasama strategik.

Program tersebut menjadi platform penting untuk membincangkan kemajuan terkini dalam penjagaan trauma, khususnya dari aspek kerjasama multidisiplin, tindak balas pantas serta perkongsian amalan terbaik dalam pengurusan kes kecemasan.

Ketua Pegawai Eksekutif hospital, Dr Kevin Khoo Teck Joon berkata, penjagaan trauma merupakan antara bidang paling kritikal dalam sistem kesihatan kerana melibatkan faktor masa, kepakaran dan koordinasi yang tinggi.

“Setiap saat amat berharga dan setiap keputusan boleh menentukan antara hidup dan mati.

“Justeru, sistem yang cekap dan bersedia amat penting dalam memastikan hasil rawatan terbaik,” katanya pada simposium berlangsung di Hotel Ames pada Sabtu.

**media[3493077]**

Turut hadir, Pengerusi Penganjur simposium, Dr Teh Yong Hup; Presiden Malaysian Society for Care of Trauma (MaSCOT), Dr Shah Jahan Mohd Yussof dan Pakar Perunding Kanan Perubatan Kecemasan dan Ketua Perkhidmatan Perubatan Kecemasan dan Trauma Negeri Melaka, Dr Mohammad Fadhly Yahya

Pada majlis sama turut berlangsung pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pantai Hospital Melaka dan MaSCOT bagi memperkukuh keupayaan klinikal, memperluas latihan trauma serta menyumbang kepada pembangunan ekosistem penjagaan trauma negara.

Kevin turut menekankan komitmen hospital untuk menubuhkan pusat trauma komprehensif sehenti yang menyediakan penjagaan menyeluruh, bermula daripada respons kecemasan hingga ke fasa pemulihan.

Sementara itu, Dr Yong Hup menekankan bahawa penjagaan trauma memerlukan kerjasama erat antara pelbagai disiplin.

“Daripada petugas pertama di lokasi kejadian hingga pakar yang memberi rawatan lanjut, setiap peringkat memainkan peranan penting dalam memastikan pesakit menerima penjagaan terbaik,” jelasnya.

Justeru itu katanya, program seperti itu bukan sahaja memperkukuh jaringan profesional, malah meningkatkan tahap kesiapsiagaan sistem kesihatan dalam menghadapi kes trauma.

Simposium turut disertai reruai daripada syarikat peranti perubatan dan farmaseutikal yang mempamerkan inovasi terkini dalam bidang penjagaan trauma.

Pantai Hospital Melaka yang ditubuhkan pada 1986 kini mempunyai lebih 200 katil serta lebih 90 pakar, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara penyedia penjagaan kesihatan utama di wilayah selatan negara

 

 

View Original Article