Pantai Teluk Kemang kini menampilkan imej yang lebih segar dan teratur dengan penggunaan payung pantai ala Bali bagi menggantikan khemah biru yang sebelum ini menjadi isu hangat. Langkah ini diambil oleh Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) melalui peruntukan lebih RM200,000.
Menurut EXCO Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J Arul Kumar, berkata penggunaan payung pantai ini melibatkan 33 plot perniagaan sepanjang 600 meter pantai. Setiap pengusaha menerima lapan payung, lapan meja, dan 16 kerusi santai, dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh MPPD.
“Konsep ini diperkenalkan sebagai penyelesaian kepada isu khemah biru yang menjadi perdebatan sejak 2020. Ia juga mengambil kira pandangan pengunjung yang mahu pantai kekal menarik tanpa menjejaskan pendapatan pengusaha,” katanya.

Syarat ketat untuk pengusaha
Arul Kumar menjelaskan, inisiatif ini diberikan tempoh percubaan selama enam bulan. Pengusaha perlu mematuhi kadar sewaan tidak melebihi RM50 dan memastikan operasi mematuhi peraturan yang ditetapkan. Sekiranya terdapat pelanggaran syarat, lesen perniagaan mereka boleh dibatalkan.
“Langkah ini memberi peluang kepada pengusaha untuk terus mencari rezeki sambil memastikan keindahan pantai terpelihara. Jika gagal mematuhi syarat, MPPD tidak akan teragak-agak untuk menghentikan operasi,” katanya.
Sumber: Sinar Harian, Harian Metro
The post Pantai Teluk Kemang Tampil dengan payung ala Bali, gantikan khemah biru appeared first on The Reporter.


