Pantai Timur Diramal Alami Ombak Besar, Laut Bergelora Hingga Ahad

2 Dec 2022 • 5:37 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Perairan Pantai Timur Semenanjung diramal mengalami angin kencang dan laut bergelora kategori kedua bermula esok hingga Ahad ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, perairan di Kelantan, Terengganu dan sebahagian Pahang turut dijangka dilanda angin selaju 60 kilometer sejam.

Menurutnya, keadaan itu boleh mengakibatkan laut bergelora dengan ombak besar setinggi 4.5 meter di perairan berkenaan.

“Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora (Kategori Pertama dan Kedua) telah dikemas kini untuk perairan Kelantan, Terengganu, Tioman, Condore, Reef North, Layang-Layang dan Palawan yang berkuat kuasa hingga Ahad ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Muhammad Helmi berkata, terdapat angin timuran kencang dijangka bertumpu di Pantai Timur dan Utara Semenanjung hingga Ahad ini.

“Ia berpotensi menyebabkan hujan lebat berterusan di kawasan terbabit. Pada masa sama, wujud satu sistem cuaca tekanan rendah di perairan Laut China Selatan. Keadaan ini boleh meningkatkan intensiti hujan di kawasan berkenaan.  

“Justeru, amaran Hujan Berterusan (Buruk dan Waspada) telah dikemas kini melibatkan negeri Pantai Timur dan Utara Semenanjung yang berkuat kuasa hingga esok,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang awam agar sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial, selain memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini serta sahih. - Getaran, 2 Disember 2022

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved