Pantau tingkah laku penyokong: Jauteh

LocalPolitics
25 Oct 2025 • 4:15 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

RANAU: Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, menggesa semua bakal calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 supaya memantau tingkah laku penyokong masing-masing bagi mengelak berlakunya kekacauan awam.

Menyentuh mengenai proses penamaan calon, beliau berkata kekecohan boleh timbul, khususnya jika terdapat calon yang ditolak kelayakannya.

“Seperti yang kita tahu, proses penamaan calon akan diadakan pada 15 Nov dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kelancaran proses tersebut,” katanya.

Bagi menghadapi proses berkenaan, Jauteh berkata PDRM telah mengadakan mesyuarat pada 22 Okt melibatkan semua ketua jabatan serta Ketua Polis Daerah di seluruh Sabah untuk menyusun pelan penugasan di pusat-pusat penamaan calon.

“Kita akan melihat tugasan dalam dua bentuk. Pertama, semasa perarakan penyokong calon yang hadir untuk menghantar borang pencalonan.

“Apabila mereka tiba di pusat penamaan calon, mereka akan ditempatkan di lokasi yang ditetapkan oleh PDRM.

“Kedua, semasa proses penyerahan borang pencalonan, kita juga akan memantau sebarang insiden tidak diingini, khususnya jika terdapat calon yang ditolak pencalonannya,” katanya.

Beliau menasihati semua pihak, terutamanya bakal calon yang membawa penyokong, supaya mengingatkan mereka agar mematuhi peraturan dan arahan PDRM.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan proses penamaan calon, khususnya ketika perarakan penyokong, berjalan lancar dan tidak mengganggu ketenteraman awam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini mengumumkan bahawa hari mengundi bagi PRN Sabah ke-17 ditetapkan pada 29 Nov, manakala hari penamaan calon pada 15 Nov dan undi awal pada 25 Nov.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata seramai 1,784,843 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab mereka dalam pilihan raya kali ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mesyuarat khas berhubung PRN Sabah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah.