Pantech Group diramal catat prestasi lebih lemah pada FY26 disebabkan penyusutan jualan, kata Phillip Capital

07/05/2025 - 16:21
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 7 Mei - Pantech Group Holdings Bhd diramal mencatatkan prestasi lebih lemah bagi tahun kewangan 2026 (FY26) disebabkan penyusutan jualan daripada bahagian perdagangannya.
Phillip Capital berkata, walaupun pendapatan dijangka merosot pada FY26 tetapi pada masa sama menjangkakan hasil dividen kumpulan melebihi 8%.
Katanya, untung bersih teras FY25 pengeluar paip dan injap itu berjumlah RM102 juta, meningkat 4% tahun ke tahun, namun gagal mencapai jangkaan, masing-masing mewakili 94% dan 89% daripada anggaran tahunan dan konsensus.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" pada harga sasaran (TP) 89 sen sesaham.
“Kami sebelum ini telah menurunkan unjuran pendapatan bagi FY26 hingga FY27 selepas mengambil kira kelembapan yang dijangka dalam bahagian perdagangan dan peningkatan kepentingan minoriti.
"Walaupun begitu, hasil dividen Pantech yang menarik melebihi 8% dijangka menyokong harga saham semasa.
“Walaupun pendapatan dijangka menurun pada FY26, kami menjangka pembayaran dividen sebanyak enam sen akan dapat dikekalkan,” katanya dalam satu nota kajian.
Risiko utama terhadap saranan "beli" itu termasuk permintaan yang lebih rendah daripada jangkaan bagi paip, injap dan kelengkapan, kelewatan projek yang tidak dijangka, dan kos operasi yang lebih tinggi daripada jangkaan.
Sementara itu, TA Securities dalam satu laporan menyatakan bahawa peningkatan tarif balas oleh Amerika Syarikat telah menimbulkan kebimbangan terhadap prospek kumpulan.
“Namun begitu, produk keluli sudah pun tertakluk kepada tarif Seksyen 232 di bawah Akta Pengembangan Perdagangan 1962, yang biasanya ditanggung oleh pengimport AS.
“Berdasarkan semakan saluran kami, kami menjangka kos tarif ini akan terus dipindahkan kepada pelanggan,” kata firma penyelidikan tersebut.
Namun begitu, TA Securities kekal berhati-hati kerana mungkin terdapat kesan tidak langsung yang ketara, seperti risiko dari segi permintaan terhadap produk akhir, contohnya kenaikan harga kepada pengguna akhir, pengurangan permintaan untuk barangan berharga tinggi, atau perubahan dalam corak pembelian pengguna ke arah alternatif berharga lebih rendah.
Firma penyelidikan itu turut menjangkakan prospek masa depan Pantech akan diperkukuh melalui anak syarikatnya, Pantech Global Bhd.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" terhadap Pantech, namun dengan harga sasaran yang diturunkan kepada 96 sen selaras dengan unjuran pendapatan yang telah disemak semula. - DagangNews.com
standard
