Pantun Chris Martin cairkan hati 85,000 peminat Malaysia

Music
23 Nov 2023 • 12:57 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Sebaik sahaja kelibat anggota Coldplay muncul di pentas malam tadi, ia disambut sorakan dan jeritan peminat tegar mereka, sehingga ‘menggegarkan’ Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Lebih memukau dan ‘mencairkan’ hati peminat apabila vokalis kumpulan rock dari Britain itu, Chris Martin memulakan persembahan dengan menyampaikan pantun dalam bahasa Melayu.

Pantun empat kerat itu menggambarkan keberadaan kumpulan berkenaan di Malaysia untuk menghiburkan peminat menerusi lagu hit mereka.

“Pergi kedai membeli sayur,

"Masak tomyam bersama bonda,

"Coldplay sekarang di Kuala Lumpur,

"Payung lagu favourite anda,” kata Chris sambil disambut sorakan peminat.

Coldplay juga mendendangkan lagu khas Malaysia Rain kerana julung kali membuat persembahan di Malaysia.

Chris turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan kerana membenarkan kumpulan itu membawa siri konsert Music of the Spheres ke Kuala Lumpur .

Di media sosial, netizen terhibur dengan pantun tersebut.

“Wahhh, bestlah,” kata seorang pengguna.

“Penuh, kalah bola wei,” tulis bumblebee88.

“So nice,” kata gateway106.

“Siapa ajar dia pantun ni ha,” ujar seorang lagi netizen.


Ini adalah kali pertama kumpulan itu mengadakan konsert di Malaysia dalam siri jelajah Coldplay: Music of The Spheres Tour yang bermula sejak Mac lalu.

Terdahulu, Coldplay yang dianggotai Chris, Johny Buckland, Guy Berryman serta Will Champion mencatat rekod sebagai antara kumpulan yang berjaya menjual tiket terbanyak dan terlaris di dunia.

Kumpulan itu dilaporkan tiba di Kuala Lumpur awal pagi kelmarin bagi menjayakan persembahan berkenaan yang turut menyaksikan Malaysia, sebagai negara terakhir konsert mereka tahun ini, sebelum ia diteruskan ke beberapa negara lain bermula Januari depan.

Susulan konsert itu, kawalan keselamatan daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta penganjur diperketatkan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Dalam pada itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menerusi kenyataan memaklumkan, konsert berkenaan turut menggunapakai suis pemati (kill switch).

Suis itu berfungsi untuk menghentikan konsert yang melanggar garis panduan ditetapkan. - 23 November, 2023

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved