
JIKA sebelum ini muncul dengan karya box office BoBoiBoy serta Mechamato, Monsta dan Astro Shaw kini kembali menjengah pawagam menerusi filem animasi terbaharu Papa Zola The Movie.
Papa Zola kini tampil sebagai watak utama dalam filem pertamanya sendiri.
Buat julung kalinya kisah asal-usul Papa Zola yang belum pernah didedahkan akan dipaparkan di layar perak melalui penceritaan baharu yang penuh aksi dan kejutan.
Bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia dan Brunei bermula 11 Disember 2025 manakala di Singapura pada minggu yang sama humor ikonik Papa Zola menjadi tunjang utama naskhah yang menyajikan hiburan untuk seisi keluarga.
Jalan ceritanya turut direka agar dapat dinikmati tanpa memerlukan penonton mengikuti siri BoBoiBoy sebelum ini.
Berlatarkan Kuala Lumpur Papa Zola The Movie membawakan dimensi baharu dalam dunia Papa Zola.
Dengan gabungan aksi mendebarkan, drama menyentuh emosi dan elemen komedi tanpa henti filem ini menjanjikan pengalaman sinematik yang mampu memikat penonton dari pelbagai peringkat usia dan generasi.
Selepas tayangan di Malaysia, Brunei dan Singapura Papa Zola The Movie juga akan melangkah ke panggung antarabangsa bermula Januari 2026 di Indonesia.
Seterusnya filem ini akan ditayangkan di India, Vietnam dan pasaran Timur Tengah yang merangkumi Arab Saudi, UAE, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar serta Turki pada April 2026 sekali gus mengukuhkan potensi naskhah ini sebagai filem animasi Malaysia yang mampu bersaing di persada global.
Hasil sentuhan kreatif Monsta menampilkan kematangan animasi tempatan melalui visual yang memukau, aksi bertenaga serta reka bentuk dunia yang lebih epik dan berskala besar.
Pengarah merangkap penulis Papa Zola The Movie Nizam Abd Razak berkata julung kali pihaknya menampilkan watak dewasa sebagai watak utama.
“Jalan cerita Papa Zola The Movie bertemakan kehidupan harian dan disulam dengan aksi mendebarkan, drama serta emosi.
“Filem ini sesuai ditonton oleh semua generasi dan peringkat umur.
“Dari aspek teknikal kami memperhalusi teknik animasi dengan memperkenalkan teknik crowd, hair serta simulasi letupan dan simulasi air.
“Saya percaya penggunaan teknologi animasi ini dapat meningkatkan lagi pengalaman menonton Papa Zola The Movie di layar perak,” katanya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Monsta.
Sementara itu Penerbit Eksekutif Papa Zola The Movie merangkap Ketua Astro Shaw Raja Jastina Raja Arshad menyatakan kerjasama menerusi BoBoiBoy Movie 2 dan Mechamato Movie membuka jalan kerjasama erat bersama Monsta untuk kembali berganding bahu dalam meneroka animasi baharu seperti Papa Zola The Movie.
“Astro Shaw komited memainkan peranan aktif dalam memperkukuhkan ekosistem animasi negara yang kini menunjukan evolusi ketara.
“Papa Zola The Movie bukan sekadar naskhah animasi untuk segmen tertentu tetapi mempunyai penceritaan dan kualiti produksi yang boleh dinikmati oleh semua peringkat umur.
“Oleh itu bagi memastikan naskhah ini dapat menarik minat khalayak pelbagai usaha dan aktiviti dirangka antaranya penganjuran larian Kebena-Run 2025. Kami mahu ‘fenomena kebenaran’ dirasai semua kerana setiap daripada kita mempunyai versi Papa Zola tersendiri.
“Kami berharap filem ini mampu mencipta satu lagi kejayaan baharu untuk filem tempatan tahun ini,” ujarnya.
Terdahulu Papa Zola The Movie mengisahkan Papa Zola iaitu seorang bapa yang bekerja keras menyara keluarga kecilnya namun tanpa diduga dia bertemu semula dengan rakan lama yang pernah berkhidmat bersamanya dalam organisasi rahsia P.A.P.A (Protect and Prevent Agency).
Bagaimanapun keadaan menjadi genting apabila anaknya Pipi diculik makhluk asing.
Papa Zola bersama Mama Zila perlu bertindak pantas untuk menyelamatkan Pipi dan melindungi dunia daripada ancaman tersebut.
Filem ini menampilkan dua lagu tema iaitu Demi Kebenaran nyanyian Insomniacks dan Kita Usahakan Lagi nyanyian Batas Senja.

![[Review] Papa Zola The Movie ‘Ungkap’ Kisah Lampau Papa Zola & Mama Zila, Sesuai Bagi Tontonan Seisi Keluarga](https://cdn.newswav.com/img/topic/family-and-parenting.jpeg)
