
TOKYO Game Show (TGS) 2026, di Chiba, Jepun bukan sekadar medan untuk memperkenalkan permainan video terbaharu. Malah, ia menjadi pentas mengetengahkan teknologi paparan yang mampu mengubah pengalaman peminat ketika berinteraksi dengan dunia digital.
Samsung Electronics bersama syarikat pembangunan dan penerbit permainan global, NC mempersembahkan teknologi Spatial Signage tanpa cermin mata tiga dimensi (3D) bagi membawa watak daripada permainan RPG fantasi bandar, Astrae Oratio ke dalam ruang fizikal.
Teknologi itu digunakan untuk mewujudkan pengalaman seolah-olah watak permainan berada di hadapan pengunjung secara nyata.
Ketua Bahagian Perniagaan Astrae Oratio, Yongsoo Lee berkata, paparan itu dalam bentuk pemasangan bertemakan lif menggunakan skrin Spatial Signage berukuran 85 inci.
Dengan teknologi 3D Plate, paparan tersebut menghasilkan ilusi kedalaman tanpa memerlukan pengunjung memakai cermin mata khas.
“Kami inginkan pelawat merasai terus pengalaman watak-watak menyerupai saiz sebenar dan membuatkan seperti mereka terlibat dalam dunia permainan.
“Watak yang dipaparkan di skrin seolah-olah nyata dan boleh berinteraksi dengan pengguna kerana ia mampu bergerak.
“Tentu sahaja, pengalaman bermain permainan video menjadi lebih realistik dan menyeronokkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Kesan visual itu menjadikan watak Astrae Oratio kelihatan hampir pada skala sebenar, sekali gus mewujudkan pengalaman imersif sebaik sahaja pengunjung melangkah masuk ke reruai.

Pergerakan watak yang dipaparkan turut menjadikan persembahan lebih hidup berbanding penggunaan poster atau skrin konvensional.
Teknologi tersebut dipilih bagi membolehkan pengunjung bersemuka dengan watak permainan pada skala sebenar serta merasai suasana dunia permainan bermula dari pintu masuk ruang pameran.
Pengalaman itu turut menarik perhatian pengunjung dan pencipta kandungan yang melihat paparan berkenaan mempunyai kesan visual kuat serta berpotensi menjadi kandungan menarik untuk dikongsikan di media sosial.
Pada pemeran tersebut, Spatial Signage mempunyai ketebalan 52 milimeter dengan saiz 85 inci untuk menghasilkan persepsi ruang dan kedalaman di sebalik skrin.
Bagi pengunjung, kesan tersebut boleh membuatkan paparan kelihatan seolah-olah mempunyai ruang sebenar di belakangnya.
Selain paparan utama, NC turut menggunakan Spatial Signage bersaiz 32 inci dengan ketebalan hanya 49.4 milimeter di kawasan menunggu dan sepanjang laluan pengunjung.
Keupayaan Spatial Signage untuk menggabungkan kandungan digital dengan ruang fizikal tidak terhad kepada acara permainan video.
Teknologi sama turut digunakan di Everland Safari World, Korea Selatan bagi menghiburkan pengunjung di kawasan menunggu, selain Festival Muzik Governors Ball di Amerika Syarikat untuk memaparkan barangan jualan.
Perkembangan itu menunjukkan teknologi paparan 3D tanpa cermin mata berpotensi membuka dimensi baharu dalam cara kandungan digital dipersembahkan kepada orang ramai.
Daripada watak permainan video kepada promosi komersial, taman tema dan acara langsung, Spatial Signage memperlihatkan bagaimana sempadan antara dunia maya dengan ruang fizikal semakin kabur.
The post Paparan 3D hidupkan watak fantasi dalam dunia nyata appeared first on Kosmo Online.
