Para Sukma: Atlet digesa maklum penggunaan bahan perubatan masing-masing

31 Oct 2022 • 2:07 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Atlet bertanding di temasya Para Sukan Malaysia (Sukma) 2022 digesa untuk mematuhi saranan Agensi Anti Dadah Malaysia (Adamas) dengan mengisytiharkan sebarang penggunaan bahan perubatan.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail (gambar) berkata usaha itu menerusi beberapa pembentangan bersama Adamas diambil bagi memastikan atlet serta temasya berkenaan tidak dicemari isu doping.

Beliau berkata pihaknya memahami bahawa terdapat atlet para yang menggunakan bahan-bahan perubatan bagi tujuan rawatan dan mereka juga sudah diberikan taklimat serta dimaklumkan berhubung perkara itu.

“Jadi kita berharap mereka sudah mengambil langkah seperti dinasihatkan Adamas supaya mengisytiharkan ubat-ubatan dalam kehidupan seharian mereka, agar ia tidak dianggap satu kesalahan dalam doping sekiranya dikesan,” katanya pada Majlis Menaikkan Bendera Kontinjen Para Sukma 2022, di sini hari ini.

Ahmad Shapawi mengulas mengenai kemungkinan isu doping muncul selepas kontroversi membabitkan tiga atlet angkat berat gagal ujian doping sebelum temasya Sukma 2022, September lepas.

Sebanyak 10 jenis sukan membabitkan 294 acara dipertandingkan pada temasya itu yang berlangsung di sekitar Lembah Klang, bermula esok hingga 6 Nov ini.

Sementara itu, ditanya mengenai keadaan cuaca tidak menentu bakal mengganggu kelancaran penganjuran temasya, Ahmad Shapawi berkata pihak MSN telah mempunyai pelan alternatif dalam mendepani permasalahan tersebut.

“Perkara ini dah bincang sekiranya cuaca tidak menentu kita akan cuba ubah ikut jadual sebolehnya dan kita tetap akan habiskan pada 6 Nov.

“Kita doa supaya keadaan cuaca tidak menghalang perjalanan Para Sukma kali ini,“ katanya.-Bernama