Paragon Globe lupus tanah 1.43 hektar di Tanjung Kupang berharga RM19.23 juta

16/04/2025 - 17:40
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 16 April - Paragon Globe Bhd menerusi PGB Landmark Sdn Bhd memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan Buildcon Concrete Sdn Bhd bagi pelupusan tanah pegangan bebas seluas 1.43 hektar di Tanjung Kupang, Johor Bahru pada harga RM19.23 juta.
Kumpulan itu berkata, hasil pelupusan itu akan digunakan untuk pembayaran balik pinjaman bank dan potensi penjimatan faedah akan mengurangkan tahap penggearannya pada masa hadapan.
Mereka dijangka mencatatkan anggaran keuntungan proforma kasar dan bersih sebanyak RM10.39 juta dan RM7.89 juta.
"Anggaran keuntungan pro forma bersih pelupusan itu sebanyak RM7.89 juta akan meningkatkan aset bersih kumpulan.
"Hasil kasar kira-kira RM19.23 juta daripada pelupusan itu yang akan digunakan untuk pembayaran balik pinjaman bank dan kumpulan menjangkakan potensi penjimatan faedah dan pengurangan tahap penggearannya," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Pelupusan itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh sembilan bulan dari tarikh SPA.
Bagaimanapun ia tidak tertakluk kepada kelulusan daripada mana-mana pihak berkuasa yang berkaitan untuk penjualan dan pemindahan tanah, mahupun daripada pemegang saham syarikat.- DagangNews.com
standard

