
Paras Air Tasik Bukit Merah Semakin Susut, Kawasan Kering & Cetek Kelihatan
Paras air di Empangan Tasik Bukit Merah di Perak dilapor terus menyusut dengan bahagian dasar di beberapa bahagian mula terdedah.
Situasi semasa tasik berkenaan didedahkan oleh Jabatan Parit & Saliran (JPS) Daerah Kerian melalui satu hantaran di laman Facebooknya, hari ini.
Bersama hantaran tersebut, JPS Daerah Kerian turut berkongsi beberapa keping gambar yang menunjukkan keadaan semasa paras air Kolam Bukit Merah di bahagian Kampung Selamat, struktur-struktur empangan dan di Kuala Sungai Kurau.
Paras ais di Tasik Bukit Merah semakin menyusut, ada kawasan cetek dan kering mula kelihatan
Menerusi gambar-gambar yang dmuat naik, kelihatan beberapa bahagian di tasik berkenaan sudah kering dan kelihatan pada pandangan.
“Bersama-sama kita bermunajat kepada Ilahi agar diturunkan hujan bagi membantu pesawah-pesawah di Rancangan Pengairan Kerian,” kata JPS Daerah Kerian lagi.
Sementara itu, Pulau Orang Utan Bukit Merah turut berkongsi keadaan semasa berdekatan Pulau Orang Utan di tasik berkenaan.
Menurut hantaran di Facebooknya, keadaan tasik yang kering merupakan salah satu sebab Pulau Orang Utan ditutup buat sementara waktu.
Aktiviti lawatan ke Pulau Orang Utan terjejas kerana bot pelancong tidak dapat beroperasi
Hal ini disebabkan perkhidmatan bot untuk membawa pengunjung tidak dapat beroperasi disebabkan tersangkut pada bahagian tasik yang sudah cetek hingga menampakkan dasar.
Situasi tersebut turut menyukarkan pergerakan ranjer yang bertugas menjaga kebajikan orang utan untuk ke pulau berkenaan.
Susulan itu, ranjer yang dihantar ke sana terpaksa beralih menggunakan kayak sebagai pengangkutan alternatif bermula 26 Jun lepas.
The post Paras Air Tasik Bukit Merah Semakin Susut, Kawasan Kering & Cetek Kelihatan appeared first on Siakap Keli.

