Parlimen Dibubar: Undi Pos Dibuka Serta-Merta – SPR

LocalPolitics
10 Oct 2022 • 6:50 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar hiasan dari fail

KUALA LUMPUR – Sehubungan pengumuman pembubaran Parlimen dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebentar tadi, permohonan undi pos dalam dan luar negara bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kini dibuka serta-merta.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, permohonan undi pos bagi Kategori 1A (Petugas Pilihan Raya, Ahli/Pegawai SPR, Anggota Polis, Anggota Tentera, dan Petugas Media) perlu dilakukan secara manual menggunakan Borang 1A yang dimuat turun dari portal rasmi SPR di https://www.spr.gov.my.

Katanya, ia harus dihantar ke Pejabat Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya berkenaan, manakala alamat dan maklumat Pejabat Pegawai Pengurus boleh dirujuk di portal rasmi SPR.

“Manakala, bagi Kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan 1C (agensi/organisasi), permohonan hendaklah dikemukakan secara dalam talian (online) melalui portal https://myspr.spr.gov.my/login.

“SPR juga ingin memaklumkan bahawa satu mesyuarat khas bagi membincang dan menentukan tarikh penting PRU Ke-15 dengan turut mengambil kira pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah akan diadakan pada tarikh akan dimaklumkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ismail Sabri mengumumkan Parlimen dibubar berkuat kuasa hari ini, selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi memberi laluan kepada PRU-15.

Katanya, penetapan tarikh hari penamaan calon dan hari pengundian serta urusan lain yang berkaitan adalah tertakluk kepada keputusan SPR. – Getaran, 10 Oktober 2022