
KUALA LUMPUR, 11 JUN: Seramai 30 usahawan kecil menyertai bengkel Bangkit Peniaga Kecil anjuran Wonderful of Women (WOW) Parlimen Gombak di sini hari ini.
Pengurus Pejabat Satelit di Pejabat Ahli Parlimen Gombak berkata program percuma tersebut julung kali dianjurkan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Hub.
“Tujuan utama program ini diadakan bagi membantu usahawan wanita, terutamanya dari kumpulan B40 untuk terus maju dalam perniagaan mereka.

“Jadi, program ini mungkin dapat membantu mereka dalam mengendalikan media sosial untuk mempromosikan perniagaan masing-masing,” kata Nurrizal Ahmad Imran kepada Selangorkini.
Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan Hub, Chun Wah Hoo berkata semua peserta akan dibimbing menerusi empat bengkel selama lebih dua bulan.
Menurutnya, peserta akan diajar mengenai pemasaran digital, pengendalian media sosial serta beberapa kemahiran lain bagi meningkatkan lagi jualan.
“Idea untuk buat program ini terhasil selepas kami melihat banyak peniaga kecil yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
“Selain Gombak, kami juga ada laksanakan program serupa di Ipoh, Perak. Kami lihat ada keperluan untuk bantu peniaga kecil di sini,” katanya.
The post Parlimen Gombak anjur bengkel, bantu usahawan wanita majukan perniagaan appeared first on Selangorkini.
