Parlimen laksana tabung kemanusiaan, bantu ringankan beban rakyat Palestin

LocalPolitics
9 Nov 2023 • 1:09 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Parlimen Malaysia melaksanakan kutipan Tabung Kemanusiaan Palestin bermula hari ini bagi membantu mengurangkan beban dan penderitaan warganya yang terkesan akibat konflik di Semenanjung Gaza.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata sumbangan itu akan disalurkan terus kepada Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin di bawah seliaan Kementerian Luar.

“Parlimen Malaysia telah terpanggil untuk bersama-sama dalam usaha meringankan beban rakyat Palestin yang semakin hari, semakin terhimpit akibat konflik yang sedang melanda dan sebagai sokongan moral kepada mereka.

Maka, Parlimen Malaysia akan melaksanakan kutipan Tabung Kemanusiaan Palestin Peringkat Parlimen Malaysia bermula hari ini, Khamis 9 November 2023,“ katanya sebelum memulakan perbahasan Belanjawan 2024 di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah di Dewan Rakyat hari ini.

Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) kemudian bangun mencelah dan mencadangkan supaya setiap Ahli Parlimen menyumbang sekurang-kurangnya RM1,000 seorang untuk tabung berkenaan.

Semalam, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata serangan tanpa henti rejim Israel ke atas orang awam di Gaza amat membimbangkan, justeru semua negara perlu bersatu menamatkan konflik itu. -Bernama