Parti dalam kerajaan GRS-PH Plus akan jadi penentu kerjasama – Armizan

LocalPolitics
21 Apr 2025 • 4:36 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Iskandar Dzulkifli

PAPAR: Parti dalam kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) Plus akan menjadi penentu kepada kerjasama kedua belah pihak bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN17) akan datang.

Timbalan Setiausaha Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Armizan Mohd Ali berkata beliau senada dengan kenyataan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, baru-baru ini berhubung hala tuju politik antara GRS dan PH Sabah.

“Akhirnya yang menentukan hala tuju politik kita menjelang PRN17 ini adalah kerajaan yang berada dalam kerajaan negeri pada hari ini, jadi apa pun keputusannya akan dirundingkan terlebih dulu di kalangan parti dalam kerajaan GRS-PH Plus.

“Itu yang ditegaskan YAB Ketua Menteri (Hajiji) kerana kerajaan hari ini terdiri daripada GRS-PH Plus dan biarlah gabungan kerajaan pada hari ini yang tentukan, membincangkan serta memurnikan sebarang bentuk pendekatan menjelang PRN17 ini.

“Pendirian ini sama dengan pendirian saya dan saya amat bersetuju dengan kenyataan YAB Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS (Hajiji) ini,” katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Papar/Dun Kawang, di sini, Ahad,

Beliau berkata demikian ketika mengulas pengumuman Pengerusi Umno dan Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin yang menyatakan Umno/BN Sabah akan bergabung pada PRN17.

Beberapa kepimpinan PH Sabah menyambut baik pengumuman itu namun menyatakan belum ada perbincangan rasmi mengenainya selain pertemuan tidak rasmi yang merupakan perkara biasa.

Nada berbeza turut dizahirkan Setiausaha Agung Dap Pusat, Anthony Loke Siew Fook yang menyatakan masih tiada kata putus tentang kerjasama dengan Umno/BN Sabah setakat ini.

Beliau menegaskan, segala ketetapan mengenai perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat rasmi parti gabungan terbabit dalam masa terdekat.

Hajiji sebelum ini menegaskan sebarang keputusan berkaitan kerjasama politik GRS pada PRN17 ini akan ditentukan oleh parti atau gabungan yang menerajui kerajaan GRS-PH Plus sedia ada.

Pada masa sama, beliau turut membayangkan GRS akan mengekalkan kerjasama dengan PH Sabah bagi menghadapi PRN17 dan akan mengadakan perbincangan dengan gabungan itu dalam masa terdekat.

“Bagaimanapun pintu kita (GRS) tidak tutup untuk mereka (parti politik lain) yang mahu bekerjasama dengan kita. Tapi perlu diingat bahawa kerajaan hari ini adalah GRS-PH Plus, jadi kita yang tentukan siapa rakan kita dalam pilihan raya nanti,” tegasnya.