Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat nafi 2,500 ahlinya sertai GRS

LocalPolitics
22 Apr 2025 • 8:20 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Sabah Publishing House Sdn Bhd

Kota Kinabalu: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menafikan dakwaan 2,500 ahlinya di Kuamut menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Setiausaha Agung Parti KDM Willie Jude berkata dakwaan mengenai 2,500 ahli itu tidak berasas kerana penyelaras yang dilantik tidak pernah menyerahkan sebarang borang keahlian kepada ibu pejabat parti.

“2,500 ahli itu adalah rekaan semata-mata. Malah semasa acara parti pun, (penyelaras Dun Kuamut) tidak pernah menggunakan logo parti.

“Inilah jadinya apabila politik dijadikan alat untuk kelangsungan hidup, dengan mendakwa ada 2,500 ahli walaupun sebenarnya tiada, semata-mata untuk mencipta naratif palsu yang hakikatnya hanyalah tidak berasas,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap satu video tular yang mendakwa Ketua Bahagian KDM Kinabatangan merangkap Penyelaras DUN Kuamut Laising Podok menyertai GRS bersama 2,500 ahli.

Willie berkata, tindakan penyelaras itu menyertai GRS tidak memberi sebarang kesan kepada KDM. Malah, parti berasa lega kerana ‘virus’ itu disingkirkan awal sebelum sempat menular menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17.

“Sebenarnya, Laising sudah berada dalam pemantauan kami ekoran pelbagai aduan daripada akar umbi dan ternyata aduan itu berasas.

“Apa yang berlaku, sudah berlaku. Apa yang penting sekarang ialah KDM Kinabatangan kekal fokus dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri,” katanya.