Parut keloid boleh membesar, sebabkan kesakitan dan kegatalan

Health & Fitness
11 Aug 2026 • 11:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Parut keloid boleh membesar, sebabkan kesakitan dan kegatalan

Parut keloid bukan sekadar kesan luka biasa, sebaliknya berlaku akibat tindak balas penyembuhan kulit yang tidak normal apabila tisu parut terbentuk secara berlebihan sehingga melebihi kawasan luka asal.

Keadaan itu terjadi apabila badan menghasilkan kolagen dalam jumlah yang terlalu banyak, menyebabkan proses penyembuhan terus aktif walaupun luka telah tertutup.

Akibatnya, parut menjadi tebal, keras dan timbul, selain boleh menyebabkan kegatalan, kemerahan serta rasa sakit.

Ketua Pegawai Eksekutif Klinik Lovina, Mejar (B) Dr. Hamidah Mohd. Salleh berkata, berbeza dengan parut biasa yang semakin pudar dan mengecil mengikut masa, keloid boleh terus membesar dan tidak akan mengecut dengan sendirinya tanpa rawatan.

“Sepatutnya penyembuhan luka yang normal tidak menghasilkan tisu berlebihan, tetapi bagi keloid, kolagen dihasilkan terlalu banyak dan terus aktif sehingga menyebabkan tisu parut bertimbun,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Keloid turut berbeza dengan parut hipertrofik yang walaupun timbul dan kemerahan, masih berada dalam kawasan luka asal serta lazimnya boleh beransur-ansur hilang dalam tempoh dua hingga tiga tahun.

Sebaliknya, keloid boleh merebak melebihi sempadan luka dan terus membesar sekiranya tidak dirawat.

Faktor genetik

Menurutnya, faktor genetik memainkan peranan besar dalam menentukan kecenderungan seseorang mengalami keloid, manakala individu berkulit lebih gelap turut mempunyai risiko yang lebih tinggi.

Wanita juga sedikit lebih berisiko, khususnya ketika mengalami perubahan hormon, namun keadaan itu boleh berlaku kepada lelaki dan individu pada pelbagai peringkat usia.

Dada merupakan antara kawasan paling kerap mengalami keloid kerana mempunyai tahap ketegangan dan pergerakan yang tinggi, selain bahu dan belakang.

Antara punca utama pembentukan keloid ialah jerawat yang besar, merah, dalam dan mengalami keradangan, selain parut akibat pembedahan, suntikan, cacar air serta kecederaan pada kulit.

Jangan tunggu parut membesar

Dr. Hamidah berkata, rawatan sebaiknya dimulakan apabila luka yang sepatutnya sembuh selepas kira-kira dua minggu hingga sebulan masih kelihatan merah atau mula timbul.

Keloid yang masih kecil lebih mudah dikawal berbanding parut yang sudah lama, besar dan keras.

“Kalau keloid masih kecil, lebih senang untuk dirawat. Kita mungkin buat dua atau tiga kali rawatan dan ia sudah boleh dikawal berbanding keloid yang sudah lama dan besar,” katanya.

Antara rawatan utama ialah suntikan steroid terus ke dalam keloid bagi membantu mengecilkan dan meratakannya, selain boleh digabungkan dengan terapi laser seperti vascular laser.

Silikon gel dan silikon sheet pula boleh digunakan terutama bagi parut yang masih baharu, manakala terapi pembekuan atau pembedahan dipertimbangkan mengikut keadaan keloid.

Bagaimanapun, pembedahan tidak menjamin keloid tidak berulang dan biasanya perlu disusuli dengan rawatan lain bagi mengurangkan risiko ia tumbuh semula.

“Rawatan keloid biasanya perlu digabungkan, bukan satu-satu sahaja. Kalau buang pun, kita masih perlu buat suntikan kerana ia boleh tumbuh balik,” jelasnya.

Menurutnya, pemilihan rawatan bergantung pada saiz, tempoh dan tahap kekerasan keloid.

Keloid yang terlalu lama dan keras boleh menyukarkan suntikan serta menyebabkan kesakitan, manakala rawatan laser atau suntikan juga berisiko menyebabkan perubahan warna kulit, terutama bagi individu berkulit lebih gelap.

Ujarnya, matlamat utama rawatan adalah untuk mengecilkan dan meratakan keloid, bukannya menjamin ia hilang sepenuhnya.

“Kebanyakan keloid yang keras dan lama memerlukan rawatan berkali-kali dan belum tentu hilang sepenuhnya. Ada kes yang mengambil masa bertahun-tahun untuk menjadi lebih baik,” katanya.

Suntikan steroid juga boleh menyebabkan kesan sampingan seperti kulit menjadi nipis atau lebih putih, selain sesetengah pesakit mengalami jerawat terutama pada bahagian belakang.

Elak rawat keloid secara kasar

Antara kesilapan yang sering dilakukan ialah menekan, mencucuk atau mengganggu keloid di rumah dengan harapan ia akan mengecil.

Tindakan itu sebaliknya boleh menyebabkan parut semakin teriritasi, merah dan membesar, sekaligus menyukarkan rawatan.

Penggunaan silikon sheet secara tidak betul atau dibiarkan hingga kering juga boleh menyebabkan iritasi pada kulit.

“Kalau tidak kacau, lebih elok. Bila ditekan atau diganggu, ia boleh menjadi lebih teriritasi dan semakin besar,” katanya.

Selepas mengalami luka atau menjalani pembedahan, penjagaan luka perlu dilakukan dengan baik dan silikon gel atau silikon sheet boleh digunakan seawal mungkin apabila keadaan luka mengizinkan.

Individu yang mempunyai sejarah keluarga mengalami keloid atau mendapati parut mula timbul disarankan mendapatkan pemeriksaan doktor lebih awal.

Beliau menegaskan rawatan keloid memerlukan kesabaran dan komitmen kerana parut itu tidak akan hilang dalam masa singkat.

Tempoh rawatan bergantung pada saiz, jumlah dan tahap kekerasan keloid, dengan keadaan yang besar dan banyak boleh mengambil masa dua hingga tiga tahun atau lebih untuk dikawal.

“Jangan tunggu sampai sudah besar baru hendak buat kerana ketika itu masalah sudah lebih sukar untuk dirawat. Kalau sudah mula rawatan, kena komited dan ikut rawatan kerana keloid bukan sesuatu yang boleh hilang terus,” katanya.

Beliau turut menasihatkan individu yang mempunyai keloid berhampiran sendi supaya mendapatkan rawatan lebih awal kerana pertumbuhan parut di kawasan berkenaan boleh mengganggu pergerakan.

The post Parut keloid boleh membesar, sebabkan kesakitan dan kegatalan appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved