Pas akan bincang tawaran PM sertai kerajaan perpaduan

Politics
25 Nov 2022 • 11:31 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Takiyuddin Hassan: - Foto Bernama

SHAH ALAM - Pas akan mengadakan pertemuan bersama parti komponen Perikatan Nasional (PN) dalam waktu terdekat bagi membincangkan tawaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyertai kerajaan perpaduan.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu juga akan meninjau pandangan dan kesediaan rakyat khususnya pengundi sebelum memuktamatkan sebarang keputusan.

"Pas menjunjung kasih dan mengucapkan tahniah kehadapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas kebijaksanaan melaksanakan fungsi Baginda berdasarkan kuasa yang diperuntukkan di bawah undang-undang khususnya dalam soal perlantikan Perdana Menteri.

"Mengenai tawaran Perdana Menteri kepada PN untuk menyertai kerajaan perpaduan pimpinannya, Pas mengucapkan terima kasih seterusnya dalam waktu terdekat akan membincangkan perkara ini dengan rakan-rakan komponen dalam PN.

"Di samping itu turut sama meninjau pandangan dan kesediaan rakyat khususnya para pengundi yang telah memberikan undi yang amat memberangsangkan kepada Pas dan PN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini media melaporkan, Anwar mengalu-alukan penyertaan PN dan parti lain untuk menyertai kerajaan perpaduan selain bersedia menerima penyertaan mereka bagi menyatukan negara.

Dalam pada itu Takiyuddin berkata, Pas turut mengucapkan tahniah kepada Anwar yang telah diperkenan dan dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 pada Khamis.

"Pas yakin beliau (Anwar) akan melaksanakan tanggungjawab dengan baik, adil dan ehsan serta turut mengutamakan konsep federalisma yang wajar kepada seluruh negeri-negeri dan rakyat jelata," ujarnya.