Pas beri amaran ambil tindakan musuh dalam selimut

Politics
27 Jul 2023 • 11:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tuan Ibrahim berkata, tindakan terhadap ahli-ahli tidak berdisiplin itu akan dibuat sama ada memecat atau menggantung keahliannya.

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Pas memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap ahli parti yang menjadi musuh dalam selimut dengan menyokong lawan atau menentang calon-calon parti itu sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan terhadap ahli-ahli tidak berdisiplin tersebut akan dibuat sama ada memecat atau menggantung keahlian mereka.

Menurut beliau, kesemua 45 calon-calon yang diumumkan bagi mewakili Perikatan Nasional (PN) perlu didokong dan dipatuhi bersama.

“Saya ingatkan, parti tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli parti yang menyokong musuh atau bertindak sebaliknya dengan menentang calon-calon yang diumumkan.

“Perlu berdisiplin atau tindakan akan diambil sama ada memecat atau menggantungnya,” kata beliau dalam ucapan pada Majlis Pengisytiharan Calon PRU DUN ke-15 PH di pekarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini pada Khamis.

Ujar Tuan Ibrahim, Pas tidak akan bertolak ansur terhadap pihak-pihak yang cuba memusnahkan parti itu dan bersatu hati untuk mempertahankan segala perjuangan selama ini.

“Kita tak boleh berkompromi atas tindakan meruntuhkan rumah yang kita bela.

“Kita kena jadi penghalang, mesti berpadu dan berpakat bagi membina kekuatan. Insya-ALLAH, semoga tuhan membantu serta memberi kekuatan kepada kita dalam menghadapi PRN kali ini,” ujar beliau.

Dalam pada itu, katanya, pihak lawan kini gentar dengan fenomena gelombang kebangkitan rakyat yang disifatkan lebih hebat berbanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Beliau mendakwa, imbuhan yang diberi semata-mata kerana kebimbangan terhadap kebangkitan rakyat untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

“Mereka tahu kita pernah memerintah waktu Covid-19, rakyat tengah susah, kita keluarkan dana bagi memastikan setiap rumah ada makanan terhidang di atas meja rumah masing-masing, kita hantar makanan, semua yang sakit dirawat percuma, vaksin percuma habis RM1 bilion untuk memastikan rakyat selamat.

“Rakyat terasa terhutang budi dengan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, lalu kita menyaksikan gelombang rakyat bangun bersama dengan beliau. Ini gelombang hijau bukan untuk menakutkan tetapi gelombang yang membantu keadilan kepada rakyat,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: