Pas, Bersatu perlu perkukuh kesepakatan demi masa depan PN

LocalPolitics
25 May 2026 • 5:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pas, Bersatu perlu perkukuh kesepakatan demi masa depan PN
Masa depan PN bergantung kepada kebijaksanaan semua pihak dalam mengurus perbezaan, memperkukuh perpaduan dalaman dan membina politik yang lebih matang, inklusif serta berorientasikan kestabilan negara.

PERIKATAN Nasional (PN) berjaya mencipta momentum tersendiri dalam pilihan raya lalu, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu dan generasi muda yang mengharapkan pendekatan politik lebih stabil, segar dan berteraskan semangat kebersamaan. Sokongan tersebut membuktikan masih wujud harapan rakyat agar PN berkembang sebagai gabungan yang matang, inklusif dan diyakini.

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), cabaran utama yang perlu diberi perhatian ialah bagaimana parti-parti komponen dalam PN dapat memperkukuh kerjasama politik secara lebih tersusun dan strategik. Dalam konteks ini, hubungan antara Pas dan Bersatu amat penting kerana kedua-dua parti merupakan tunjang utama kekuatan PN.

Kerjasama yang diperkukuhkan lebih awal sebelum pilihan raya mampu memberi banyak kelebihan kepada gabungan. Antaranya termasuklah pembahagian kerusi yang lebih tersusun, pengelakan pertembungan sesama sendiri, pengurangan risiko perpecahan undi, serta peningkatan keberkesanan gerak kerja kempen di lapangan.

Pengalaman pilihan raya lalu menunjukkan bahawa persefahaman awal antara parti-parti komponen amat penting bagi memastikan jentera dapat digerakkan secara lebih teratur dan fokus. Sekiranya rundingan dilakukan lebih awal dan secara harmoni, setiap parti dapat memberi tumpuan kepada kekuatan masing-masing tanpa menimbulkan ketegangan yang boleh menjejaskan keyakinan akar umbi.

Dalam politik gabungan, kestabilan tidak hanya bergantung kepada kekuatan sesebuah parti, tetapi juga kepada kemampuan semua pihak mengurus perbezaan secara matang. Justeru, Pas dan Bersatu perlu mengamalkan pendekatan “buang yang keruh, ambil yang jernih” demi memastikan agenda besar penyatuan ummah dan kestabilan politik dapat diteruskan.

Pas sememangnya mempunyai kekuatan organisasi dan pengalaman luas dalam pengurusan pilihan raya, manakala Bersatu pula mempunyai pengaruh tersendiri dalam menarik sokongan pengundi atas pagar serta kelompok profesional dan generasi muda. Gabungan kekuatan ini perlu dimanfaatkan secara kolektif dan bukannya dilihat dalam kerangka persaingan dalaman.

Dalam masa sama, setiap parti komponen juga perlu diberikan ruang yang seimbang dalam proses membuat keputusan. Semangat saling menghormati dan keterbukaan penting supaya PN terus dilihat sebagai gabungan yang inklusif dan stabil.

Sebarang perbezaan pandangan sewajarnya diselesaikan melalui saluran dalaman secara berhikmah. Rakyat hari ini bukan sahaja menilai kekuatan sesebuah gabungan melalui retorik politik, tetapi juga berdasarkan kemampuan mengurus konflik, memilih calon berwibawa dan membina kerjasama yang meyakinkan.

Selain itu, kerjasama politik yang berkesan perlu berasaskan matlamat bersama seperti memperkukuh kebajikan rakyat, menawarkan pentadbiran yang stabil serta membina alternatif politik yang diyakini. Parti-parti dalam gabungan juga perlu mengelakkan polemik berpanjangan terhadap isu-isu sensitif yang boleh merenggangkan hubungan sesama sendiri.

Pendekatan yang lebih tersusun melalui dokumen persefahaman, mekanisme pengurusan konflik dan strategi kempen bersama boleh membantu memperkukuh lagi kesepakatan dalam PN. Ini termasuk penyelarasan jentera pilihan raya, perkongsian sumber dan penetapan strategi komunikasi yang lebih berkesan.

Hakikatnya, kerjasama politik yang dimeterai lebih awal sebelum pilihan raya memberi kelebihan besar kepada mana-mana gabungan. Selain membantu meningkatkan peratusan undi, ia juga mampu memberi keyakinan kepada pengundi bahawa gabungan tersebut benar-benar bersedia mentadbir negara secara stabil dan tersusun.

Atas sebab itu, Pas dan Bersatu perlu terus memperkukuh hubungan serta menilai semula bentuk kerjasama sedia ada demi memastikan PN kekal relevan dan kompetitif menjelang PRN dan PRU akan datang. Penambahbaikan dalam gabungan tidak harus dilihat sebagai tanda kelemahan, sebaliknya sebagai usaha memperkukuh perpaduan dan daya tahan politik jangka panjang.

Sekiranya semua pihak kembali kepada semangat asal penubuhan PN iaitu keterbukaan, kebersamaan dan penyatuan kekuatan politik Melayu-Islam, tidak mustahil gabungan ini mampu terus berkembang sebagai alternatif yang diyakini rakyat.

Masa depan PN bergantung kepada kebijaksanaan semua pihak dalam mengurus perbezaan, memperkukuh perpaduan dalaman dan membina politik yang lebih matang, inklusif serta berorientasikan kestabilan negara.

*Dr Nur Ayuni Mohd Isa ialah Pensyarah Kanan dan Penganalisis Politik Universiti Putra Malaysia (UPM), Penyelidik Pasca Doktoral, Jabatan Politik dan Pengajian Antarabangsa, Pusat Asia Tenggara (SEAC), SOAS University of London.