Keputusan PAS menamatkan kerjasama politik dengan BERSATU terus mencetuskan tanda tanya mengenai kedudukan parti itu dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).
Setakat ini masih dalam PN
Memetik laporan daripada Berita Harian, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari memberi bayangan bahawa PAS ketika ini masih kekal berada dalam gabungan berkenaan meskipun hubungan politik dengan BERSATU telah dihentikan.
“Itu saya tidak mahu ulas lagi setakat ini. Setakat malam ini begitulah (masih dalam PN),” katanya ketika ditemui media selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di ibu pejabat parti itu.

Perkara tersebut dinyatakan selepas PAS mengejutkan landskap politik negara apabila mengumumkan keputusan menghentikan serta-merta kerjasama politik dengan BERSATU selepas meneliti kedudukan serta hala tuju hubungan antara kedua-dua parti.
Keputusan tersebut dicapai menerusi mesyuarat khas yang dipengerusikan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Enggan ulas perjalanan mesyuarat
Fahdli yang ditanya sama ada keputusan itu mendapat persetujuan majoriti pimpinan tertinggi parti, Ahmad Fadhli memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai perjalanan mesyuarat berkenaan.
“Saya tidak boleh komen mengenai perjalanan mesyuarat. Tidak (panas) …penghawa dingin berfungsi dengan baik,” katanya.
Tambahnya, agenda mesyuarat khas tersebut juga tidak menyentuh atau membincangkan mengenai kedudukan semasa PAS dalam PN.

Sementara itu, Pengerusi PN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim turut berpandangan bahawa kedudukan PAS dalam gabungan itu kekal seperti sedia ada kerana kenyataan rasmi Presiden PAS tidak menyentuh soal PN.
“Kenyataan Presiden tidak menyentuh pasal PN, jadi kedudukan adalah sebagaimana yang lama (masih kekal),” katanya.

Mengulas situasi politik di Perlis susulan perkembangan tersebut, Shahidan berkata beliau akan mengeluarkan kenyataan lanjut mengenai status kerajaan negeri selepas menerima arahan rasmi daripada pucuk pimpinan pusat.
“Isu Perlis, saya akan keluarkan kenyataan apabila mendapat arahan selanjutnya daripada PAS Pusat,” katanya.
Sumber: Berita Harian (Essa Abu Yamin)






