
LEBIH sedekad telah berlalu sejak pemergian Allahyarhamah Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali, namun nama wanita yang pernah mencipta sejarah di Titiwangsa itu masih mempunyai tempat tersendiri dalam perjuangan politik Pas.
Menjelang Muktamar Pas, kisah perjuangan Allahyarhamah wajar kembali diangkat bukan sekadar sebagai kenangan terhadap seorang tokoh yang telah pergi, tetapi sebagai cerminan kepada generasi Muslimat hari ini tentang erti keberanian, keteguhan prinsip dan kesediaan memikul amanah.
Bagi Ahli Parlimen Kapar, Halimah Ali yang pernah bersama Allahyarhamah dalam barisan Dewan Muslimat Pas, Dr. Lo’ Lo’ adalah sosok yang tidak mudah digugat oleh cabaran.
“Jasa besar Dr. Lo’ Lo’ ialah dia seorang yang berani menongkah arus dan cekal menghadapi sebarang kebarangkalian dalam dunia politik, terutama di Lembah Klang,” katanya.
Halimah yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat berkata, keberanian itu menjadikan Allahyarhamah bukan sahaja seorang pemimpin, tetapi sumber inspirasi kepada Muslimat Pas untuk tampil memimpin dan berkhidmat kepada masyarakat.
“Arwah adalah inspirasi bagi Muslimat Pas untuk menjadi pemimpin, melorongkan wanita khususnya ke arah kebaikan, kebajikan dan menangani kemungkaran dalam masyarakat. Arwah adalah iron lady Pas,” katanya.
Gelaran itu bukan lahir daripada kekuatan fizikal atau ketegasan semata-mata.
Ia lahir daripada perjalanan hidup seorang wanita yang berani memasuki ruang-ruang yang penuh cabaran, membawa ilmu dan pengalaman profesionalnya ke tengah masyarakat sebelum akhirnya memilih gelanggang politik sebagai medan perjuangan.
AKTIF BERSAMA MASYARAKAT
Dr. Lo’ Lo’ dilahirkan pada 2 Ogos 1957 di Kuala Kangsar, Perak, dalam keluarga yang mempunyai latar belakang agama.
Bapanya, Datuk Mohd. Ghazali Abdullah, merupakan Imam Besar Masjid Negara yang pertama dan pernah menjadi Mufti Perak, manakala ibunya ialah Datin Zainab Mohd. Salleh.
Pendidikan awalnya bermula di Sekolah Kebangsaan Connolly, Ipoh, sebelum meneruskan pengajian di Sekolah Raja Perempuan Taayah, Ipoh dan Kolej Islam Klang (sekarang dikenali sebagai KISAS).
Arwah kemudian melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pernah terbabit dalam Majlis Kepimpinan Pelajar UKM.
Minatnya terhadap bidang perubatan terus dikembangkan apabila beliau mengikuti pengajian di Adelaide Alternative Medicine & Surgery, termasuk dalam bidang akupunktur.
Arwah kemudiannya pernah berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif Pusat Perubatan Kohilal.
Namun, kehidupan Dr. Lo’ Lo’ tidak hanya berkisar mengenai kerjaya sebagai seorang doktor.
Beliau aktif dalam pelbagai gerakan kemasyarakatan, kebajikan dan profesional, antaranya Yayasan Amal Malaysia, Persatuan Pengguna Islam Malaysia serta beberapa pertubuhan dakwah dan kemasyarakatan.
Pengalaman inilah yang membentuk dirinya sebagai seorang pemimpin yang dekat dengan denyut nadi masyarakat.
PERJALANAN POLITIK
Dalam politik, perjalanan Allahyarhamah bukanlah mudah.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2004, beliau menjadi calon Pas bagi Parlimen Bukit Gantang, Perak, namun tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Tan Lian Hoe.
Empat tahun kemudian, beliau kembali bertanding, kali ini di kerusi Parlimen Titiwangsa.
PRU 2008 akhirnya mencatatkan kemenangan yang cukup bersejarah.
Dr. Lo’ Lo’ menewaskan calon UMNO, Datuk Aziz Jamaludin Mhd. Tahir, dengan majoriti 1,972 undi.
Beliau memperoleh 17,857 undi berbanding 15,885 undi yang diterima pencabarnya yang mewakili gabungan BN.
Kemenangan itu menjadi antara detik penting dalam sejarah Pas Wilayah Persekutuan kerana parti berkenaan berjaya menawan kerusi Parlimen di Kuala Lumpur selepas lebih tiga dekad berusaha membina tapak di ibu negara.
Lebih menarik, beliau merupakan antara tiga calon Dewan Muslimat Pas yang berjaya memenangi kerusi pada PRU tersebut.
MUSLIMAT WAJAR TEKUNI
Maka, sempena Muktamar Pas, persoalan yang lebih besar adalah: Apakah yang boleh dipelajari oleh generasi Muslimat hari ini daripada seorang Dr. Lo’ Lo’?
Jawapannya mungkin terletak pada keberanian beliau untuk mengambil risiko.
Dr. Lo’ Lo’ tidak menunggu sehingga suasana menjadi mudah untuk tampil ke hadapan. Beliau turun ke gelanggang ketika medan politik Kuala Lumpur bukanlah kawasan yang mudah untuk Pas.
Beliau juga membuktikan bahawa perjuangan politik tidak boleh dipisahkan daripada ilmu dan kerja kemasyarakatan.
Inilah antara legasi yang wajar diteladani. Muslimat Pas bukan sekadar penggerak program atau pengisi ruang dalam organisasi, tetapi mampu menjadi pemimpin yang mempunyai kepakaran, pandangan dan keberanian membuat keputusan.
Muktamar Pas seharusnya menjadi ruang untuk Muslimat Pas melihat kembali kekuatan generasi terdahulu.
Bagaimana tokoh seperti Dr. Lo’ Lo’ membina kredibiliti melalui ilmu, pengalaman, khidmat dan keberanian.
Ketika landskap politik semakin kompleks, masyarakat juga menuntut pemimpin yang bukan hanya lantang bersuara, tetapi memahami isu kehidupan sebenar rakyat.
Dalam konteks itu, kisah Dr. Lo’ Lo’ menjadi sangat relevan.
Beliau seorang doktor, aktivis masyarakat, pemimpin Muslimat Pas dan Ahli Parlimen. Ia disatukan dalam satu tujuan memberi khidmat kepada masyarakat.
Allahyarhamah meninggal dunia pada 17 Julai 2011, kira-kira pukul 10.13 malam di Hospital Selayang selepas berdepan masalah barah yang serius.
Jenazahnya disembahyangkan di Masjid Al-Akram, Datuk Keramat sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat.
Beliau pergi pada usia 54 tahun. Namun, usia yang singkat tidak menghalang beliau meninggalkan jejak yang panjang.
Sempena Muktamar Pas, mungkin inilah masa terbaik untuk nama Dr. Lo’ Lo’ kembali dikenang bukan hanya sebagai seorang bekas Ahli Parlimen Titiwangsa, tetapi sebagai simbol keberanian wanita Pas.
Generasi Muslimat Pas hari ini tidak perlu meniru gaya atau zamannya secara bulat-bulat.
Sebaliknya, yang perlu diwarisi adalah semangatnya. Berani tampil apabila diperlukan, cekal apabila diuji, berilmu ketika berbicara dan sentiasa meletakkan khidmat kepada masyarakat sebagai teras perjuangan.
Legasi seorang pemimpin bukan diukur pada berapa lama beliau berada di pentas, tetapi pada berapa ramai yang berani naik ke pentas selepas beliau pergi.
Dalam hal itu, Dr. Lo’ Lo’ telah meninggalkan satu amanah besar kepada Muslimat Pas: ‘Jangan takut untuk memimpin’. – UTUSAN
PENULIS adalah wartawan Utusan Malaysia.
The post Pas perlu buktikan tidak ketandusan pemimpin wanita appeared first on Utusan Malaysia.
