Pas perlu hormati pendirian UMNO Perlis gerak solo PRU16

LocalPolitics
10 Aug 2026 • 8:06 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pas perlu hormati pendirian UMNO Perlis gerak solo PRU16

ARAU: Pas perlu menghormati pendirian UMNO Perlis untuk bergerak solo dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) di negeri ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rozabil Abd. Rahman berkata, pada masa ini, UMNO negeri telah membuat ketetapan untuk bertanding di semua 15 kerusi Dewan Undangan Ne­geri (DUN) dan tiga Parlimen.

“Buat masa sekarang, semangat ahli-ahli UMNO di setiap DUN dan Parlimen begitu kuat untuk masuk gelanggang pilihan raya dan menang semula di Perlis.

“Berilah peluang kepada ahli-ahli parti UMNO untuk bergerak dan apabila tiba ma­sanya, kita bincang (kerjasama).

“Jika sebut pasal perpaduan ummah, kita sudah bentuk Muafakat Nasional (MN) tetapi yang keluarnya adalah Pas. Sekarang hendak sebut semula soal perpaduan ummah, jadi tunggu sahajalah masa yang sesuai.

“Dulu bila UMNO nak buat (MN) kamu lari. Sekarang, bila kita sebut hendak bergerak solo, kamu hendak buat perpaduan ummah,” katanya.

Beliau ditemui selepas me­rasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Arau di Dewan Sivik di sini semalam.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, UMNO Perlis tidak ada sebarang perbincangan dalam soal kerjasama dengan mana-mana parti politik termasuk Perikatan Nasional (PN) dan akan bergerak solo menghadapi PRU16.

Rozabil yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau berkata, terdapat respon daripada kepemimpinan sayap Pas ne­geri yang mempersoalkan pendirian UMNO bergerak solo, kononnya menolak perpaduan ummah.

“Kami pun mahu respon, semasa di Johor, kita pun cuba hendak bersama dengan Pas tetapi mereka juga mengambil ketetapan untuk bergerak solo.

“Jadi ini bergantung kepada parti masing-masing, bukan hanya UMNO sahaja dan terpulang kepada mana-mana negeri yang hendak menyuarakan hasrat untuk bertanding secara solo.

“Kami berjuang untuk membantu rakyat dan masuk dalam pilihan raya dan soal bertanding solo atau tidak, itu soal kemudianlah.

“Tapi buat masa sekarang ini, UMNO Perlis buat ketetapan bekerja di kesemua 15 DUN dan ketiga-tiga Parlimen,” katanya.-UTUSAN.

The post Pas perlu hormati pendirian UMNO Perlis gerak solo PRU16 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved