
KUALA LUMPUR – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengumumkan keputusan untuk menamatkan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), sekali gus menandakan perubahan penting dalam landskap politik pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pengumuman itu dibuat Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menerusi satu kenyataan selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang berlangsung semalam.
Menurut beliau, keputusan tersebut dibuat selepas parti meneliti secara menyeluruh kedudukan serta hala tuju kerjasama politik antara PAS dan BERSATU berdasarkan laporan, kajian serta penilaian semasa.
Katanya, keputusan itu juga mengambil kira ketetapan yang dibuat oleh Mesyuarat Majlis Syura Ulama pada 2 Jun lalu berhubung dasar, hukum dan maslahat kerjasama politik PAS yang berasaskan prinsip penyatuan ummah.
Keputusan Selepas Penilaian Menyeluruh
Dalam kenyataan sama, Abdul Hadi berkata PAS memperakui keputusan yang dicapai hasil perbincangan dan penelitian terhadap kedudukan kerjasama politik yang telah terjalin sebelum ini.
“Antara ketetapan yang dibuat PAS termasuklah memperakukan keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulama pada 2 Jun 2026 berhubung pertimbangan dasar, hukum dan maslahat kerjasama politik PAS, atas prinsip penyatuan ummah.
“Selain meneliti kedudukan dan hala tuju kerjasama politik PAS–BERSATU berdasarkan laporan, kajian dan penilaian semasa,” katanya.
Tumpu Kerjasama Pilihan Raya Baharu
Pada masa sama, PAS memaklumkan parti itu akan meneroka bentuk persefahaman politik serta kerjasama pilihan raya (electoral pact) yang baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri dan PRU16.
Menurut Abdul Hadi, usaha tersebut dibuat atas dasar penyatuan ummah dan bagi memperkukuhkan kedudukan politik parti pada masa hadapan.
Beliau turut menjelaskan bahawa perkembangan itu selari dengan penerimaan hasrat pelbagai tokoh akademik, profesional, pemimpin politik serta aktivis masyarakat yang berminat untuk bersama PAS. – The Malaysian Update
The post PAS Putuskan Kerjasama Politik Dengan BERSATU, Fokus Bentuk Persefahaman Baharu Hadapi PRU16 appeared first on The Malaysian Update.






