
KUANTAN - Pas menyambut baik kenyataan dan ketegasan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyebut bahawa parti itu dan Perikatan Nasional (PN) bersedia bila-bila masa untuk sebarang siasatan mahupun keterangan sekiranya ada dakwaan ke atas mana-mana pemimpin dengan syarat wajib bersikap adil dan tidak pendakwaan terpilih.
Ketua Penerangan Pas, Ir Khairil Nizam Khirudin memberitahu, parti itu konsisten serta tegas dengan pendirian bahawa amalan rasuah wajib ditolak dalam segenap urusan.
Menurutnya, ia melibatkan pentadbiran kerajaan mahu pun organisasi kerana amalan rasuah bertentangan dengan ajaran Islam.
"Pas mengharapkan agar kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) yang kononnya mahu mereformasi sistem perundangan negara agar tidak mengamalkan pendakwaan terpilih dan pilih kasih dalam setiap penyiasatan serta pendakwaan.
"Pas yakin tindakan terdesak kerajaan PH-BN kini yang melaksanakan penyiasatan dan pendakwaan terpilih serta pilih kasih kerana ketakutan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN)," kata beliau dalam kenyataan pada Selasa.
Ujar Khairil yang juga Ahli Parlimen Jerantut itu, ia akan diterjemah oleh penolakan rakyat kepada PH-BN dalam PRN di Selangor, Kedah, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
