PAS Sokong Larangan Vape Di Pahang, Seru Bantuan Buat Peniaga Terlibat

LocalPolitics
12 Jun 2025 • 11:08 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

PAS menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan kerajaan negeri Pahang yang mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau vape, seperti diumumkan semalam.

Menurut laporan Malaysiakini, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, menyifatkan langkah itu sebagai satu usaha penting demi menjaga kesihatan dan masa depan generasi akan datang.

Langkah proaktif buat peniaga

Tuan Ibrahim berkata walaupun larangan tersebut wajar dipuji, tindakan susulan juga perlu diberi perhatian.

image is not available

Foto: BH

“Saya menyarankan agar kerajaan negeri mengambil langkah proaktif membantu para peniaga vape untuk beralih kepada bentuk perniagaan lain yang lebih selamat dan menepati prinsip halalan toyyiban. Ini penting bagi memastikan kelangsungan hidup mereka selepas pelaksanaan larangan ini,” katanya.

Keputusan untuk mengharamkan penggunaan vape di Pahang dibuat selepas mesyuarat Jawatankuasa Agama Negeri.

Menurut Exco Kanan Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad, keputusan itu turut mendapat perkenan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau menjelaskan bahawa larangan penjualan peranti vape di semua premis akan bergantung kepada kemampuan dan tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT).

image is not available

Foto: Carian Google

Namun begitu, kerajaan negeri mencadangkan agar pengurangan penjualan dilakukan secara berperingkat, dengan sasaran tiada lagi premis menjual vape menjelang tahun hadapan.

Tuan Ibrahim, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, berkata keputusan tersebut selaras dengan fatwa yang telah dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Negeri Pahang.

image is not available

Foto: Carian Google

Beliau turut memaklumkan bahawa tindakan ini seiring dengan pendirian beberapa negeri lain termasuk Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Johor.

“Langkah ini tepat dan perlu disambut baik oleh semua warga Pahang,” ujarnya.

Sumber: Malaysiakini