
KOTA BHARU - Pas tidak menetapkan kuota calon untuk parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) sebaliknya memilih mereka yang boleh memenangi hati pengundi.
Setiausaha Pas Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, Perikatan Nasional (PN) sudah melakukan kajian di peringkat akar umbi untuk memilih calon 'winnable'.
Menurutnya, semua calon yang dipilih untuk PRN yang dijangka pada Julai depan sudah dipersetujui Majlis Syura Ulamak.
"Kita yakin akan menang 45/0 berdasarkan persiapan lebih awal ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar Program Male Gegey Gegok Anok Mudo Kelate di sini pada Rabu.
Selain itu, Wan Roslan memberitahu, gelombang anak muda kini dilihat semakin bersemangat dan banyak berfikir mengenai pelan strategi kemenangan PN.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor berkata, ramai yang mahu menjadi calon tetapi pilihan diutamakan kepada mereka berkaliber dan beberapa tokoh muda.
"Anak muda kini boleh membawa perubahan besar berdasarkan PRU15 dan kita percaya mereka juga antara faktor penting membawa kemenangan pada PRN nanti," katanya

