PAS tamatkan kerjasama politik dengan Bersatu

LocalPolitics
9 Jun 2026 • 1:49 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

PAS tamatkan kerjasama politik dengan Bersatu

KUALA LUMPUR – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengumumkan penamatan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sekali gus mencetuskan perkembangan baharu dalam landskap politik negara menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang diadakan hari ini selepas mengambil kira keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulama pada 2 Jun lalu berhubung kedudukan kerjasama politik antara kedua-dua parti.

Menurut beliau, mesyuarat berkenaan telah mempertimbangkan segala aspek dasar, hukum dan maslahah berkaitan kerjasama politik PAS yang selama ini berteraskan prinsip penyatuan ummah.

“PAS turut meneliti kedudukan dan hala tuju kerjasama PAS-Bersatu berdasarkan laporan, kajian serta penilaian semasa sebelum memutuskan untuk menghentikan kerjasama politik dengan parti tersebut.

“PAS akan meneroka bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya (electoral pact) demi penyatuan ummah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16),” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Dalam perkembangan sama, Abdul Hadi berkata, PAS juga bersedia menerima penyertaan tokoh akademik, profesional, pemimpin politik serta aktivis masyarakat yang berminat untuk menyertai parti itu.

Pengumuman berkenaan sekali gus menamatkan spekulasi mengenai hubungan antara PAS dan Bersatu yang dilihat semakin tegang sejak beberapa bulan lalu.

Sebelum ini, beberapa pimpinan PAS di peringkat negeri meminta ahli serta jentera parti supaya bersabar menantikan keputusan rasmi Jawatankuasa PAS Pusat berhubung masa depan kerjasama kedua-dua parti.

Kemelut antara PAS dan Bersatu dilaporkan semakin meruncing sejak penghujung tahun lalu susulan beberapa isu dalaman melibatkan gabungan Perikatan Nasional, termasuk pertikaian mengenai hala tuju gabungan serta hubungan antara dua parti komponen utama tersebut.

Pemerhati politik berpendapat keputusan PAS itu berpotensi memberi kesan terhadap percaturan politik negara, khususnya dalam menghadapi siri pilihan raya yang bakal berlangsung dalam tempoh beberapa tahun akan datang.