Pas tidak terdesak jalin kerjasama dengan UMNO dalam MN

Politics
2 Sep 2022 • 2:11 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Hashim

YAN - Usaha Pas untuk bersama dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) bukan kerana parti berkenaan terdesak.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, istilah terdesak ertinya Pas tidak boleh hidup tanpa UMNO sedangkan Pas sudah lalui pelbagai dugaan sejak penubuhannya pada tahun 1951.

Katanya, Pas juga tidak terdesak dalam sebarang situasi kerana mempunyai tempat bergantung iaitu berpandukan pada al-Quran, sunnah dan syarak.

"Nak kata terdesak ertinya kita tidak boleh hidup tanpa dia (UMNO) sedangkan Pas dari dulu sampai sekarang sudah macam-macam kita lalui termasuk pernah bertanding secara solo pada pilihan raya," katanya pada sidang media di Muktamar Dewan Ulama Pas Pusat di Dewan Serbaguna Guar Chempedak, di sini pada Jumaat.

Menurutnya, perjuangan Pas juga agak berlainan daripada parti lain kerana berlandaskan tanggungjawab terhadap perjuangan.

"Kita ada tempat bergantung iaitu berpandukan pada al-Quran, sunnah dan syarak, jadi kita tidak terdesak rasa tenang dan lapang kalah pun tak apa, kalau menang lagi bagus," katanya.

Dalam perkembangan sama, Hashim berkata, Pas akan terus menjadi ejen pendamai untuk menyatukan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) yang didakwa menjadi punca pergolakan dalam MN.

"Demi perpaduan ummah, kalau ada dua golonan mukmin bergaduh hendaklah kamu damaikan. Berkaitan UMNO dengan Bersatu mungkin kita buka pintu, kita ajar dan kita tak tutup," katanya.