PAS Tumpu Agenda Penyatuan Ummah, Tolak Idea Khemah Besar

Politics
19 Jun 2022 • 3:11 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
PAS akan meneruskan agenda penyatuan ummah merentasi ideologi dan parti politik. - Gambar fail

KUALA LUMPUR - PAS menolak idea ‘khemah besar’ dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), sebaliknya memberi tumpuan terhadap agenda penyatuan ummah.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, prinsip parti itu dalam seruan penyatuan ummah adalah jelas dan ia berdiri teguh dengan kerjasama politik yang menguatkan dahulu umat Islam.

Katanya, pada masa sama, PAS berdiri dalam satu perikatan dengan parti bukan Islam yang tidak ekstrem dan menjulang prinsip Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam menghadapi PRU-15, timbul pula cadangan khemah besar sebagai usaha konsolidasi undi rakyat kepada parti yang bersekutu. PAS menolak idea khemah besar dan fokus agenda penyatuan ummah.

“PAS tidak akan berhenti menyeru seluruh parti Melayu Islam baik UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk bersama-sama dalam membina semula negara serta memperkukuhkan umat Islam,” katanya hari ini.

image is not available
Mohd Amar Abdullah - Gambar Bernama

Jelas Mohd Amar, semuanya adalah demi Islam serta prinsip kestabilan kerajaan dipegang PAS. 

“PAS menyedari situasi semasa umat Islam yang semakin dihimpit dengan pelbagai cabaran dari segenap aspek kebelakangan ini.

“Parti ini dengan segenap kemampuan yang ada sudah menggerakkan usaha memperkenalkan Budaya Politik Matang & Sejahtera (BPMS) sebagai satu daripada inisiatif menterjemahkan solusi politik Islam dalam mendepani cabaran itu,” katanya.

Beliau berkata, terkini, PAS meneruskan agenda berkenaan menerusi seruan penyatuan ummah rentas ideologi dan parti politik.

“Rakyat Malaysia pasti tidak lupa dengan sejarah hitam 22 bulan negara di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang menzahirkan realiti golongan cuba menggugat status quo Malaysia serta prinsip asas tunjang negara.

“Prinsip PAS sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan PAS adalah jelas. Islam yang paling utama. Bagi menghadapi rejim PH ketika 2018-2019, PAS menggerakkan usaha muafakat ummah dengan parti Melayu seperti UMNO dan badan bukan kerajaan (NGO) sebagai ikhtiar menguatkan akar politik Melayu Islam yang semakin goyah,” tegasnya. - Getaran, 19 Jun 2022