GEORGETOWN – Dua individu yang terlibat dalam kes perbuatan lucah di tanah perkuburan Cina akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, kedua-dua suspek akan dituduh di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan kerana melakukan kelucahan melampau di tempat awam.
“Kes tersebut melibatkan perbuatan lucah di tempat awam dan tindakan lanjut telah diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Terdahulu, pasangan yang melakukan aksi tidak senonoh di Tanah Perkuburan Cina, Batu Gantung, Ayer Itam, di sini direman tiga hari sehingga Khamis untuk membantu siasatan.
Perintah reman tersebut dikeluarkan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi di Mahkamah Majistret 3 di sini pada pagi Selasa.
Sebelum ini, polis menahan pasangan warga fempatan itu selepas video kejadian itu tular di media sosial.
Suspek wanita berusia 37 tahun ditahan kira-kira jam 8.35 malam di sebuah flat berhampiran Jalan Padang Tembak manakala suspek lelaki berusia 58 tahun diberkas kira-kira jam 11.10 malam di hadapan sebuah bangunan berhampiran Jalan Paya Terubong, Sungai Ara pada Isnin.
Kedua-dua suspek ditahan pada hari sama selepas pihak polis menerima laporan berhubung video tular berkenaan.
Dalam rakaman berdurasi 38 saat itu, seorang lelaki dilihat dalam keadaan tidak berpakaian sambil membelakangi kamera manakala seorang wanita pula hanya berpakaian separa dan duduk di atas sebuah batu nisan.
Rakaman tersebut turut memaparkan suara seorang wanita yang menegur pasangan terbabit dengan mendakwa kejadian seumpama itu bukan kali pertama berlaku di lokasi berkenaan.
Dalam klip sama, lelaki berkenaan kelihatan bersahaja mengenakan semula seluarnya sementara individu yang merakam terus menegaskan bahawa kawasan perkuburan seharusnya dihormati sebagai tempat memperingati si mati.
Lelaki itu kemudian memohon maaf atas perbuatannya namun permohonan tersebut tidak diterima apabila wanita berkenaan memberi amaran akan membuat laporan kepada pihak polis.

