
KUALA LUMPUR, 29 NOVEMBER 2023 — Selepas pertarungan sengit selama dua jam yang melibatkan bola ping pong dan bingo, pasangan suami isteri dari Johor muncul sebagai juara Kejohanan "Bounce & Bingo" MR D.I.Y., sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM10,000.
Moey Yen Ying dan Ng Boon Pin dari Johor menewaskan 15 pasukan lain dari seluruh Malaysia untuk merebut gelaran juara. Pasangan ini menewaskan pasukan Sabah dalam pusingan pertama, pasukan Melaka dalam suku akhir, dan pasukan Selangor dalam separuh akhir sebelum meraih kemenangan dalam kejohanan tersebut apabila menentang pasukan Putrajaya dengan membentuk bingo dalam masa 17 saat.
Dengan penuh kegembiraan, Moey dan Ng berkata, "Kami agak gugup pada mulanya, tetapi perlahan-lahan mendapat momentum dan semakin tenang selepas beberapa pusingan. Kemenangan ini terasa seperti mimpi. Kami ingin berterima kasih kepada mereka yang menyokong kami dan ribuan terima kasih kami ucapkan kepada MR D.I.Y. kerana telah menganjurkan 'Bounce & Bingo'. Kami akan berbelanja lebih banyak di MR D.I.Y. pada masa akan datang, tetapi buat masa ini, kami tidak sabar untuk membawa ahli keluarga kami makan besar!"
Kejohanan permainan peringkat kebangsaan ini menawarkan pelbagai hadiah menarik berupa wang tunai dan hadiah bernilai sehingga RM25,000, termasuk wang tunai, baucar tunai, piala, dan pingat. Sebagai juara kejohanan 'Bounce & Bingo' MR D.I.Y., Moey dan Ng yang mewakili Johor membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 dan sebuah piala. Naib juara iaitu pasukan dari Putrajaya — dua sahabat, Ahmad Daud Abdul Manan dan Rashid Mat Rani — juga membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 dan sebuah piala. Pemenang tempat ketiga pula adalah pasangan suami isteri dari Selangor, Mohd Khairul Anuar Isa dan Nur Ikmal Ibrahim Bakri, yang membawa pulang sebuah piala dan hadiah wang tunai RM3,000. Selain itu, hadiah saguhati berupa baucar tunai bernilai RM500 setiap satu turut disampaikan kepada 13 pasukan lain dari Sarawak, Melaka, Perak, Terengganu, Kelantan, Kedah, Perlis, Sabah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Pahang, dan Labuan.
Mengulas tentang kejohanan yang diadakan di MR D.I.Y. PLUS, Mid Valley Megamall pada 25 November 2023 itu, Ketua Pemasaran Kumpulan MR D.I.Y., Alex Goh, berkata, “Ini adalah kali pertama MR D.I.Y. menganjurkan kejohanan permainan, dan sambutan yang diterima sangat positif dengan lebih dari 5,000 penyertaan bagi peringkat pertama kejohanan yang diadakan pada 3-5 November. Kami amat gembira kerana kejohanan ini telah menarik begitu ramai rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang, termasuk peserta termuda kami, seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dari Kedah yang berjaya ke peringkat akhir. Semua finalis kami hari ini telah menunjukkan semangat kesukanan yang cemerlang walaupun cabaran ini begitu sengit. Sebagai penganjur, kami amat bangga dengan semua peserta. Tahniah kepada semua finalis dan terima kasih rakyat Malaysia kerana bermain 'Bounce & Bingo'. Jumpa lagi tahun depan!”
Goh menambah bahawa lebih banyak lagi kejohanan permainan akan diatur pada masa akan datang kerana respons yang diterima sangat memberangsangkan. "Melalui kejohanan permainan ini, kami ingin menjadikan kunjungan para pelanggan ke MR. D.I.Y. lebih menyeronokkan dan bermakna supaya kami dapat menambah nilai dalam kehidupan mereka.”
‘Bounce & Bingo’ adalah inisiatif kejohanan permainan pertama yang diperkenalkan oleh MR D.I.Y.. Walaupun ia merupakan permainan yang mudah, ia memerlukan kerjasama pasukan, kemahiran, dan tuah untuk menang. Permainan ini bertujuan untuk menggalakkan keluarga-keluarga di Malaysia bekerjasama dan bergembira ketika bermain permainan yang mudah sambil berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik. Peringkat Pertama kejohanan diadakan dari 3 hingga 5 November di 48 cawangan MR D.I.Y. PLUS di seluruh Malaysia dan berjaya menarik seramai 5,192 peserta. Peringkat Kedua, iaitu peringkat akhir, berlangsung di MR D.I.Y. PLUS, Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur, pada 25 November.


