Pasangan kembar teruja mengundi pertama kali

Politics
19 Nov 2022 • 2:31 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

PASIR GUDANG: Perbezaan fahaman politik dan pendapat dalam beberapa perkara bukan penghalang bagi pasangan kembar berusia 25 tahun untuk keluar bersama-sama menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi hari ini.

Tiba di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Taman Rinting 1 sekitar 7.50 pagi, pasangan kembar seiras Dayana Zulqamarina Zulkifli dan Dayini Zulqamaria hadir berbaju sedondon dan berkongsi payung kerana cuaca hujan, menarik perhatian orang ramai di pusat mengundi itu.

“Sejak awal lagi kami telah membaca dan mencari maklumat mengenai cara mengundi dan latar belakang calon yang bakal kami undi.

“Kami harap, tidak kiralah siapa pun menang dan memerintah, kerajaan yang mentadbir perlu meletakkan rakyat sebagai keutamaan dan mementingkan aspek seperti pengangkutan dan pekerjaan,“ kata Dayana Zulqamarina kepada pemberita hari ini.

Dayana Zulqamarina juga bersyukur kerana berpeluang mengambil bahagian dalam menjadi penentu masa depan negara memandangkan tidak dapat berbuat demikian sebelum ini atas faktor kesihatan.

Kedua-dua mereka juga berharap kerajaan baharu yang mentadbir negara akan membawa perubahan membina terutama buat generasi muda.

Dayana Zulqamarina dan Dayini Zulqamaria yang tinggal di Taman Sierra Perdana adalah antara pengundi di Parlimen Pasir Gudang menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Noor Azleen Ambros, penyandang kerusi parlimen itu Hassan Abdul Karim (PH), Mohamad Farid Abdul Razak (PN) dan Mohammad Raffi Beran (Pejuang).

Sementara itu, calon BN Parlimen Kota Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Naib Presiden Umno turut menunaikan tanggungjawab mengundi hari ini.

“Walaupun cuaca hujan di Pasir Gudang pagi ini, nampaknya ia tidak menghalang pengundi datang menunaikan kewajipan dan saya percaya peratusan keluar mengundi tetap tinggi, “ kata bekas Menteri Besar Johor yang pernah menyandang kerusi parlimen berkenaan. -Bernama