Pasangan pelancong China hilang di Pulau Mantanani

LocalTravel
7 Oct 2025 • 9:57 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

KOTA BELUD: Sepasang kekasih yang juga pelancong warga China dilaporkan hilang sejak Ahad selepas gagal mendaftar keluar dari Sutera Manta0.Pulau Mantanani di sini.

Difahamkan, mangsa lelaki dikenali sebagai Yu Xiaopeng, 25, manakala seorang lagi dipercayai teman wanitanya, Fan Qin, 28.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Supt Shahrudin Mat Husain berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian terbabit daripada pihak keselamatan resort berkenaan pada jam 7.57 malam Ahad.

Katanya, siasatan awal mendedahkan kedua-dua mangsa dilaporkan mendaftar masuk ke resort berkenaan pada jam 2.14 petang, 4 Okt lalu dan dijadualkan keluar pada esoknya.

“Bagaimanapun, mereka gagal dikesan sehingga kini dan usaha pencarian mereka sedang giat dijalankan oleh pihak berkuasa,” katanya kepada Daily Express.

Menurut Shahrudin, pihak resort juga tidak mengetahui keberadaan mereka selepas waktu daftar keluar.

Yu kali terakhir dilihat memakai baju lengan panjang dan seluar panjang berwarna hitam, sementara Fan memakai baju berlengan pendek serta seluar pendek paras paha berwarna hitam.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan sejak semalam melibatkan lebih 50 anggota daripada pelbagai agensi keselamatan,“Antara agensi terlibat SAR adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Udara (Unit Drone), Pasukan Gerakan Am (Platun Tek Mantanani) dan Pasukan Polis Marin (PPM),” ujarnya.

Turut serta, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Daerah Kota Belud, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kota Belud dan penduduk sekitar.

Shahrudin menambah, pasukan penyelamat menumpukan kawasan operasi SAR di kawasan darat dan perairan Pulau Mantanani.

“Setakat ini, kedua-dua mangsa masih belum ditemui dan orang awam diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” katanya.

Saksi awam atau yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ketua Balai Polis Kota Belud, Inspektor Frankie Pain di talian 019-2151132 bagi membantu siasatan.

View Original Article