Pasangan suami isteri ditahan disyaki edar dadah RM3.59 juta

29 Jun 2026 • 5:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pasangan suami isteri ditahan disyaki edar dadah RM3.59 juta
Pasangan suami isteri ditahan bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM3.59 juta. Foto ihsan Polis Johor

JOHOR BAHRU – Tindakan licik sepasang suami isteri menjadikan kediaman mereka sebagai stor penyimpanan dan pembungkusan semula dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan berakhir.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, pasangan tempatan masing-masing berumur 40 dan 34 tahun diberkas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor dalam satu serbuan di Kulai kira-kira jam 10.50 pagi pada Khamis lalu.

Katanya, hasil pemeriksaan di kediaman pasangan berkenaan menemukan pelbagai jenis dadah dengan anggaran berat keseluruhan 26.94 kilogram yang dianggarkan bernilai RM3.59 juta.

"Antara dadah yang dirampas ialah 21.7 kilogram (kg) serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA), 1.8 kg serbuk ekstasi, 1,621 biji pil ekstasi, 6,400 biji pil Erimin five dan 682 gram ketamin.

"Jumlah rampasan itu dianggarkan mampu digunakan oleh kira-kira 90,277 penagih. Siasatan mendapati sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak awal Januari lalu," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Menurut Ab Rahaman, kedua-dua suspek dipercayai aktif sebagai pengedar dadah.

Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine, manakala isterinya didapati negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah.

"Semakan rekod lampau pula mendapati suspek lelaki mempunyai satu rekod kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bermula Jumaat lalu hingga 1 Julai depan bagi membantu siasatan.

"Polis turut mengambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita pelbagai aset bernilai RM206,752.

"Sitaan membabitkan Proton e.MAS 7, Nissan Almera, Chery Omoda, wang tunai RM25,000 serta pelbagai barang kemas.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved