Pasar malam pilihan rakyat ketika tekanan ekonomi - Khazanah Research Institute

30/04/2025 - 16:46
Gambar/pasarmalamnearme.com Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 30 April - Pasar malam kini dilihat sebagai pemangkin penting kepada ekonomi Malaysia, terutama ketika waktu sukar seperti kemelesetan ekonomi.
Khazanah Research Institute (KRI) berkata, pasar malam juga bukan sekadar berperanan sebagai talian hayat yang penting ketika krisis berlaku, malah memberi peluang pekerjaan kepada individu yang kehilangan kerja dan menjadi platform untuk mereka yang ingin mula berniaga atau bekerja sendiri bagi menyara hidup.
"Pasar malam ada di mana-mana, menjadikannya mudah dikunjungi oleh pelbagai lapisan masyarakat.
"Namun, kajian mendalam diperlukan bagi melihat trend pemodenan bandar, perubahan corak pemakanan, peningkatan kos sara hidup dan peralihan digital," jelas KRI dalam kajian bertajuk Why Night Markets Matter?: A Review of Literature yang ditulis oleh Nur Sofea Hasmira Azahar dan Dr Mohd Amirul Rafiq Abu Rahim.
Kajian berkenaan meneliti kepentingan ekonomi, budaya dan sosial pasar malam yang semakin berkembang di Malaysia.
"Penulisan ini meneruskan kajian terdahulu KRI yang diterbitkan pada Januari lalu tentang landskap perniagaan kecil, dengan fokus khas kepada pasar malam sebagai ruang dinamik yang menggabungkan keusahawanan, kehidupan komuniti dan kepelbagaian budaya," kata Nur Sofea.
Kajian turut menekankan, pasar malam sudah lama menjadi sebahagian daripada kehidupan rakyat Malaysia dan sering dijadikan alternatif kepada pasar raya.
Jelas kajian tersebut, pasar malam juga semakin mendapat sambutan apabila pengguna memilih untuk makan di luar berbanding restoran.
"Dengan pelbagai pilihan gerai dan harga yang lebih mampu milik, pasar malam sedikit sebanyak membantu rakyat mengurangkan beban kewangan, terutama ketika keadaan ekonomi mencabar," katanya.
Bagaimanapun, terdapat beberapa isu baharu berkaitan pasar malam yang perlu diberi perhatian lebih mendalam.
KRI mendapati, perubahan pasar malam sangat berkait rapat dengan proses pembangunan bandar dan perubahan corak pemakanan rakyat.
"Bagaimanapun, kajian masih terhad khususnya dalam memahami kaitan antara perubahan ini dengan sistem lesen, akses lokasi dan daya tahan peniaga," ujarnya.
Isu pengurusan sisa, pematuhan keselamatan makanan dan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan turut dilihat sebagai kelemahan sistemik yang tidak boleh diselesaikan hanya dengan peraturan semata-mata.
Selain itu, peningkatan taraf hidup dan jangkaan pengguna terhadap aspek kesihatan, kemudahan dan pengalaman membeli-belah juga memberi cabaran kepada model pasar malam tradisional.
Walaupun pendigitalan mula mengubah cara pasar malam beroperasi, kesannya dalam membantu usahawan wanita, belia dan golongan B40 masih belum diketahui sepenuhnya.
Melalui kajian tersebut, KRI berharap dapat menghasilkan data dan maklumat baharu yang lebih mendalam untuk memahami realiti sebenar yang dihadapi peniaga dan pengunjung pasar malam dari pelbagai latar belakang. - DagangNews.com
featured standard


