Pasar Tani berkonsepkan lestari, pintar akan diperluas ke seluruh Pahang

18 Sep 2022 • 2:10 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUANTAN: Pasar Tani Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menjadi lokasi pertama di negara ini mengaplikasi konsep lestari dan pintar, dengan inisiatif itu akan diperluaskan ke seluruh pasar tani di Pahang secara berperingkat.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang Datuk Abd Rahim Muda berkata langkah itu antara lain sebagai usaha memelihara alam sekitar apabila peniaga digalakkan menggunakan pembungkus mudah urai dan mengamalkan konsep kitar semula.

Selain tunai, menurut beliau pasar tani pintar itu juga menawarkan pembayaran menerusi aplikasi Kod QR dan e-dompet sekali gus mendedahkan peserta dengan perniagaan digital.

“Pasar tani UTC ini juga tidak lagi menggunakan generator untuk bekalan elektrik sebaliknya menggunakan solar yang dilihat dapat mengurangkan pencemaran bunyi. Selain pasar tani, kita akan cadangkan supaya pasar malam juga melaksanakan inisiatif lestari dan pintar ini.

“Saya akan adakan mesyuarat bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) pada minggu depan dan cadangan ini akan dimaklumkan kepada PBT, dengan itu kita menjangkakan tahun depan lebih banyak pasar tani dan pasar malam mengamalkan konsep sebegini,“ katanya pada sidang media selepas merasmikan Pasar Tani Lestari Pintar, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah FAMA Pahang Saiful Safri berkata kira-kira 240 peserta pasar tani UTC yang beroperasi pada setiap Ahad bermula pukul 7 pagi hingga 1 tengah hari itu telah menawarkan bayaran tanpa tunai kepada pelanggan mereka.

“Inisiatif itu akan dikembangkan kepada lebih 20 pasar tani di negeri ini kelak dan kami berharap program lestari dan pintar yang dimulakan di sini menjadi contoh serta ikutan kepada pasar tani di negeri lain,“ katanya.

Dalam pada itu, FAMA dalam kenyataan memaklumkan nilai jualan pasar tani melibatkan 1,200 peserta di Pahang sehingga Ogos merekodkan RM8 juta sekali gus menghampiri sasaran tahun ini iaitu RM10 juta.-Bernama