Pasaran modal Malaysia berkembang 5.6% kepada RM3.8 trilion pada 2023
diyana
25/03/2024 - 15:56
KUALA LUMPUR 25 Mac - Pasaran modal Malaysia kekal berdaya tahan pada tahun 2023, dengan saiz pasaran berkembang sebanyak 5.6% kepada RM3.8 trilion daripada RM3.6 trilion tahun lepas, didorong oleh pertumbuhan permodalan pasaran ekuiti serta jumlah bon dan sukuk belum tebus.
Industri pengurusan dana juga berkembang kukuh dengan jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) mencecah paras tertinggi baharu sebanyak RM975.5 bilion berbanding RM906.5 bilion tahun sebelumnya, yang sebahagian besarnya disebabkan kesan penilaian positif, menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam Laporan Tahunan 2023 yang diterbitkan hari ini.
Segmen unit amanah kekal sebagai sumber dana terbesar yang terdiri daripada 51.3% daripada jumlah AUM.
Namun, jumlah dana yang dikumpul dalam pasaran modal menyederhana kepada RM127.7 bilion pada 2023, berbanding pengumpulan dana yang tinggi sebanyak RM179.4 bilion tahun sebelumnya.
Pengerusi SC, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata, prestasi pasaran modal yang kukuh dicapai meskipun berdepan cabaran ekonomi global dan jangkaan yang berbeza terhadap dasar monetari dalam ekonomi utama.

Menurut beliau terbitan utama pasaran ekuiti bertambah baik kepada RM3.6 bilion pada 2023 berbanding RM3.5 bilion pada 2022 menerusi 32 tawaran awam awal (IPO), manakala aktiviti pengumpulan dana sekunder menurun kepada RM5.8 bilion berbanding RM22.6 bilion tahun sebelumnya berikutan tindakan korporat yang lebih rendah sepanjang 2023.
Awang Adek berkata, pasaran ekuiti domestik mencatatkan prestasi bercampur-campur tahun lalu dengan peralihan positif sentimen dilihat ke arah segmen bermodal pertengahan dan kecil.
"Jumlah dan nilai dagangan harian bertambah baik terutamanya pada separuh kedua 2023, mungkin disebabkan pengurangan duti setem berkuat kuasa Julai 2023," katanya pada sidang media sempena penerbitan Laporan Tahunan 2023 di sini hari ini.
Tahun lalu juga memperlihatkan aktiviti pembiayaan alternatif mencatatkan pertumbuhan yang menggalakkan dan terus menyokong keperluan pembiayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), dengan jumlah dana yang diperoleh berjumlah RM3.8 bilion berbanding RM3 bilion pada 2022.
Ekuiti pendanaan ramai (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (P2P) telah membolehkan lebih 15,000 PMKS mengumpul lebih RM6 bilion sejak penubuhannya. - DagangNews.com


