liza08/01/2026 - 17:34 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 8 Jan – Pasaran pejabat di ibu kota dijangka ‘semakin sesak dan padat’ dengan kemasukan hampir enam juta kaki persegi ruang pejabat baharu, menurut laporan Rahim & Co Property Market Review 2025/2026.
Laporan itu mendedahkan ruang pejabat yang sedang dibina merangkumi lapan bangunan, kebanyakannya terletak di pusat bandar yang akan menambah bilangan sedia ada.
Kadar penghunian pejabat di seluruh negara pula menurun kepada 77.8% pada akhir Jun sebelum meningkat sedikit kepada 78% pada September.
Firma perunding hartanah itu menekankan keperluan strategi penukaran fungsi bangunan atau peningkatan aset bagi mengurangkan kadar kekosongan.
“Kuala Lumpur kekal sebagai kawasan dengan tumpuan tertinggi ruang pejabat yang dibina khas di negara ini, dengan jumlah bekalan mencapai 109.86 juta kaki persegi pada separuh pertama 2025.
“Kadar penghunian berada pada 72.2%, meninggalkan kira-kira 30.51 juta kaki persegi ruang kosong, yang kebanyakannya adalah bangunan lama.
“Kemunculan hab pejabat baharu seperti Tun Razak Exchange, Merdeka 118, IOI City Towers dan Pavilion Damansara Heights menyebabkan bangunan lama dan kurang berprestasi sukar bersaing,” menurut laporan itu.
Banyak pejabat yang dibina pada awal 2000-an kini tidak lagi memenuhi piawaian semasa dari segi reka bentuk, prestasi alam sekitar, atau kesiapsiagaan teknologi, menyumbang kepada lebihan ruang yang ketinggalan zaman.
Permintaan terhadap ruang pejabat di Kuala Lumpur tertumpu pada lokasi premium, bersijil ESG dan mudah diakses melalui pengangkutan awam, dengan sokongan minat antarabangsa daripada agensi seperti InvestKL dan MIDA.
Di Selangor, negeri yang menjadi kuasa ekonomi negara, sektor pejabat mempunyai jumlah bekalan 50.58 juta kaki persegi setakat separuh pertama 2025 dengan kadar penghunian purata 72.5%, meninggalkan kira-kira 13.9 juta kaki persegi ruang kosong.
Petaling Jaya mencatatkan tumpuan terbesar dengan 20.2 juta kaki persegi merentasi 90 bangunan pejabat, mewakili 40% daripada stok ruang pejabat di negeri Selangor.
Satu bangunan pejabat baharu sedang dibina di Petaling Jaya dan dijangka menambah lebih daripada 350,000 kaki persegi ruang apabila siap kelak, sekali gus menambah bekalan di kawasan yang sudah sesak.
Laporan itu memberi amaran bahawa strategi peningkatan aset dan penyesuaian fungsi bangunan perlu dipertingkatkan bagi memastikan kadar kekosongan dapat dikurangkan dan pelaburan pejabat lebih berdaya saing. - DagangNews.com



